Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 Mac – Dalam sama-sama menyemarakkan dan memeriahkan lagi Seminar Antarabangsa Fiqh al-Usrah 2017, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) selaku pihak penganjur telah mengambil inisiatif untuk mengungkayahkan Nadwah Fiqh al-Usrah, yang berlangsung di Dewan Tarbiyah, KUPU SB, di sini, hari ini.
Majlis yang bertemakan mengenai ‘Isu dan Cabaran Pendidikan Keluarga Era IT’ itu telah dihadiri oleh Pemangku Ra’es KUPU SB, Dr. Haji Adanan bin Haji Basar. Nadwah berkenaan telah dipengerusikan oleh Alumni KUPU SB, Haji Mohd Jaya bin Haji Metussin dan menampilkan dua orang ahli panel dari Brunei dan Malaysia yang dijemput untuk membahaskan tema berkenaan.
Ahli panel yang dimaksudkan ialah Penolong Kanan Profesor Fakulti Syariah KUPU SB, Dr. Abdul Raud bin Mohd Amin dan Profesor Madya Jabatan Siasah Syar’iyyah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati binti Syed Ismail.
Majlis berkenaan telah dihadiri oleh para mahasiswa KUPU SB dan juga orang ramai.

