Saya amat bersetuju dengan pendapat pembaca Mansuhkan yang bertajuk Mansuhkan lesen memandu warga tua yang diterbitkan dalam ruangan ini beberapa minggu lalu.
Perkara ini sememangnya perlu dititik beratkan demi keselamatan pemandu warga tua sendiri dan pengguna-pengguna jalan yang lain.
Ini kerana baru-baru ini saya melihat seorang pemandu lelaki tua yang memandu dalam keadaan bahaya.
Beliau seakan-akan tidak menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain.
Sejurus pemandu tua itu meng-hentikan keretanya di satu kawasan yang juga sama tempat yang saya tujui, saya cuba memberanikan diri untuk menegur cara pemanduan lelaki tua itu.
Beliau menyatakan penglihatan beliau sudah berkurangan dan beliau turut merasa pening.
Apabila meminta nombor yang dapat dihubungi, lelaki tua itu tidak memiliki sebarang telefon bimbit kerana tidak pandai menggunakannya.
Ditanya lagi, di mana rumah beliau,beliau hanya menyatakan kadang-kadang ingat dan kadang-kadang lupa.
Apabila saya mempelawa untuk menghantarnya pulang ke rumah, beliau menolak dan menyatakan dia perlu berehat seketika sahaja untuk menghilangkan rasa pening.
Lalu saya pergi ke salah sebuah kedai sebentar dengan harapan dapat mengikut lagi lelaki tua tadi.
Malangnya, pemandu tua itu sudah pergi ketika saya berada di dalam kedai tersebut dan saya tidak dapat menjejaki keberadaannya.
Pihak berkenaan perlu menekankan syarat-syarat untuk memiliki lesen memandu demi keselamatan pemandu warga emas dan orang lain ketika berada di jalan raya.
Prihatin