Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 5 OGOS – Wawasan Brunei 2035 dan rangka tindakan ekonomi menekankan keperluan mempelbagaikan ekonomi dengan sektor pertanian dan makanan dikenal pasti sebagai salah satu pemacu utama.
Namun pada realitinya, laluan untuk menceburi sektor berkenaan masih berliku dengan banyak pengusaha terutamanya belia dan usahawan baharu, berdepan kekeliruan dan proses yang rumit termasuk maklumat yang kurang bertumpu, prosedur yang kurang jelas dan sokongan yang tidak mudah dicapai.
Dalam hubungan itu, ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), Yang Berhormat Lau How Teck mencadangkan diwujudkan pusat sehenti dan aplikasi digital Agro Business yang benar-benar berfungsi sebagai pintu masuk rasmi kepada sektor berkenaan.

“Semua maklumat penting, bermula daripada proses pendaftaran, pemilihan tapak, senarai bantuan dan geran kerajaan, sehingga akses latihan dan mentor berpengalaman, perlu disatukan di bawah satu saluran yang jelas dan muda dicapai,” jelasnya lagi dalam perbahasan bagi usul Wawasan Brunei 2035 yang dicadangkan semasa Persidangan MMN yang berlangsung di Bangunan Dewan Majlis, hari ini.
Beliau menerangkan menerusi langkah berkenaan, kita dapat mengurangkan birokrasi, memberikan keyakinan kepada pengusaha baharu dan memastikan setiap rakyat yang berhasrat untuk menyumbang kepada sektor pertanian, mempunyai laluan yang teratur dan mesra pengguna.
“Pendekatan ini sejajar dengan aspirasi rangka tindakan ekonomi untuk membangunkan perniagaan yang produktif, berdaya saing dan berorientasikan pasaran.”
Selain memudahkan kemasukan ke sektor berkenaan, Yang Berhormat Lau How Teck menyatakan perlu diberikan perhatian kepada ekosistem yang menyokong pengeluaran dan pemasaran hasil tani.
Beliau menerangkan bagi pengusaha kecil, kadangkalanya hasil mereka tidak dapat dipasarkan dengan baik sehingga ada yang terpaksa menjual pada harga yang rendah atau membuang hasil kerana tiada pembeli segera, tiada tempat penyimpanan yang sesuai serta tiada saluran pengedaran yang terancang.
“Keadaan ini bukan sahaja melemahkan semangat pengusaha, malah menjejaskan kestabilan harga dan bekalan makanan di pasaran tempatan,” tekannya.
Oleh itu, tegasnya, terdapat keutamaan untuk membangunkan pusat pengumpulan hasil tani di setiap daerah, dilengkapi dengan kemudahan penyimpanan sejuk, pembungkusan berstandard serta sistem pengedaran moden yang mampu membawa hasil tani dengan cepat ke pasar raya atau pemborong.
“Dengan adanya jaminan pasaran yang lebih tersusun, pengusaha akan lebih berani meningkatkan kapasiti pengeluaran, sekali gus menambah kestabilan bekalan makanan negara.”
Mengulas mengenai masa depan sektor berkenaan, Yang Berhormat Lau How Teck menekankan ia bergantung pada sejauh mana kita dapat menarik minat dan melahirkan generasi baharu yang bersedia menyumbang.
“Namun pada realitinya, ramai anak muda masih menganggap pertanian sebagai pekerjaan yang kurang menarik dan tidak menjanjikan pulang yang baik.”
Dalam menggalakkan penyertaan golongan muda dalam sektor pertanian, Yang Berhormat Lau How Teck mencadangkan diwujudkan skim usahawan muda agro yang menawarkan dana permulaan yang mudah diakses, latihan praktikal secara berstruktur bersama mentor berpengalaman dan jaminan saluran pasaran yang lebih jelas.
“Dengan sokongan ini, sektor pertanian dapat dilihat sebagai bidang kerjaya yang berdaya maju, inovatif dan berimpak tinggi kepada pembangunan negara,” tambahnya.

