Sunday, May 4, 2025
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kurangkan makan baik untuk diri

    SETIAP manusia di atas muka bumi ini perlu makan dan minum bagi meneruskan kelangsungan hidup. Makanan dan minuman yang dijamah mampu memberi pelbagai khasiat, vitamin dan mineral yang diperlukan oleh tubuh badan.

    Bagaimanapun, terdapat segelintir individu yang mempunyai nafsu makan besar sehingga memberi kesan negatif kepada berat badan. Sesungguhnya punca kepada segala bencana terletak pada syahwat perut dan dari sanalah timbulnya syahwat kemaluan.

    Daripada syahwat perut, Nabi Adam AS ditimpa cubaan hingga baginda harus diusir daripada syurga oleh Allah SWT. Rasulullah pernah bersabda: “Perangilah nafsu kamu dengan lapar dan haus kerana pahala dalam kedua-duanya seperti orang berjihad pada jalan Allah. “Dan sesungguhnya tidak ada amal yang paling disukai oleh Allah melebihi lapar dan haus (berpuasa).” (Thabat asy-Syafi’iyyah Al-Kubra)

    Ibnu Abbad RA pernah berkata, Rasulullah bersabda: “Orang yang perutnya terlalu kenyang tidak diizinkan memasuki kerajaan langit.” (Al-Mughni’am Hamli Al-Asfar) Allah turut berfirman, ‘Lihat hamba-Ku. Aku mengujinya dengan makanan dan minuman di dunia akan tetapi ia meninggalkan kedua-duanya demi Aku. ‘Bersaksikan wahai para malaikat-Ku, setiap suap makanan yang ia tinggalkan nescaya Aku akan menggantinya dengan beberapa darjat.’ (Sahoh at-Targhib wa at-Tarhib)

    Abu Sulaiman pernah berkata: “Bagiku, meninggalkan sesuap makanan daripada makan malamku lebih aku sukai daripada solat sunat pada awal malam sampai subuh.” Antara manfaat lapar ialah tidak lupa akan orang yang hidup kekurangan dan kemiskinan.

    Dengan lapar, seseorang itu dapat menguasai nafsu dan tipu daya syaitan lalu menakluknya. Lapar juga dapat membuatkan seorang hamba berjaga malam hari untuk beribadat kepada-Nya.

    Disebabkan itu, seorang guru pernah berdiri di atas podium seraya lalu berpesan kepada muridnya, “Wahai para murid, janganlah terlalu banyak makan. Sebab nanti kamu akan banyak minum, lalu banyak tidur dan merugi kerananya.”

    Sesiapa yang berada dalam keadaan terlalu kenyang, ia menjadi malas untuk melakukan ketaatan. Terlalu banyak makan mendorong seseorang untuk mencari apa yang hendak dimakan, mencuci tangan dan sering masuk ke tandas.

    Manfaat lapar

    Antara manfaat lapar (berpuasa) ialah menyihatkan jiwa dan raga. Orang yang sedikit makannya sedikit pula penyakitnya. Setiap manusia di atas muka bumi ini berkemampuan menentukan banyak dan sedikitnya jumlah makanan, cepat atau lambat waktu makan dan jenis hidangan yang dijamah.

    Salah satu usaha yang boleh dilakukan mengurangi makan secara berperingkat. Sesiapa yang beralih daripada banyak makan kepada sedikit secara drastik, ia akan merosakkan tubuhnya. Sebaiknya, ia perlu dilakukan secara beransur-ansur. Cara lain yang perlu dilakukan adalah makan setelah benar-benar lapar dan berhenti sebelum berasa kenyang.

    Meskipun demikian, cara ini cukup sukar kerana batasan benar-benar lapar dan kenyang adalah subjektif bagi setiap orang. Ada pendapat yang mengatakan: “Sesungguhnya seseorang yang benar-benar lapar, ia akan makan dengan lahap meskipun tanpa lauk.”

    Usaha seterusnya, hanya makan sekali sehari semalam, ia merupakan tahap paling ringan untuk diikuti. Sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Sa’raya al-Khudri: “Sesungguhnya, apabila Rasulullah sudah makan siang, maka Baginda tidak makan pada sebelah malam. Jika sudah makan malam, maka Baginda tidak makan siang.”

    Rasulullah juga pernah berpesan kepada Aisyah RA, “Janganlah engkau berlebih-lebih dalam hal memakan makanan. Sesungguhnya dua kali makan dalam sehari itu masuk dalam kategori banyak.”

    Justeru, marilah kita sama-sama mengawal nafsu makan kerana ia dapat memberi manfaat kepada kesihatan dan ibadah seorang Mukmin. – Agensi

    Sesiapa yang berada dalam keadaan terlalu kenyang, ia menjadi malas untuk melakukan ketaatan. – Gambar hiasan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda