Saya cukup tertarik dengan surat salah seorang penulis di ruangan Pendapat Pembaca ini bertarikh 26 April lalu yang menyentuh soal adab dan tatasusila tatkala bertandang ke rumah orang lebih-lebih lagi dalam suasana terkini, di mana orang ramai masih lagi sibuk dengan kunjungan rumah terbuka sempena Hari Raya Aidilfitri yang cukup meriah.
Sehubungan itu, saya ingin menambah kepada perkara yang disuarakan oleh penulis tersebut, namun tidak berkaitan soal adab, cuma masih lagi berkait dengan suasana Aidilfitri iaitu kelekaan terhadap gajet.
Ia terjadi dalam kalangan keluarga sendiri apabila anak buah saya dan termasuklah beberapa anak-anak muda dalam kalangan rakan anak buah saya sendiri tidak lepas dengan gajet, sama ada telefon pintar atau tablet masing-masing sepanjang kunjungan ke rumah terbuka.
Ia sudah cukup membimbangkan kerana berlaku dalam kalangan keluarga saya sendiri dan bayangkan betapa parahnya ketagihan gajet ini di luar sana pula.
Memang saya tidak nafikan yang gajet adalah antara alat keperluan penting yang bagai tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas kepada manusia pada dasawarsa ini, tanpa mengira usia, jantina, status dan kaum.
Namun, perlu kita sedar bahawa ia sedikit sebanyak merubah mentaliti dan jati diri manusia pada hari ini lebih-lebih lagi terhadap anak-anak.
Tambahan pula, gajet-gajet tersebut tidak hanya digunakan untuk berkomunikasi, ia juga menjadi teman hidup yang setia. Kini, dalam suasana perayaan seperti Aidilfitri, penggunaan telefon pintar semakin popular untuk merakamkan gambar dan video kenangan.
Walaupun penggunaan gajet semakin berkembang, ia juga boleh menjadi ketagihan dan mengganggu masyarakat, terutamanya jika tidak dipantau dengan betul. Oleh itu, kita perlu mengamalkan penggunaan gajet dengan bijak untuk mengelakkan kesan negatif pada masyarakat.
Wujud jurang sosial