Wednesday, February 5, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kurangkan stigma, pandangan negatif kesihatan mental

    Oleh Salawati Haji Yahya –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Kira-kira 100 orang pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah menghadiri jerayawara bersempena Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2023, hari ini.

    Acara yang berlangsung di Dewan Multaqa, Aras Bawah, Bangunan Tambahan, KHEU itu bertema Kesihatan Mental dan Kesejahteraan di Tempat Kerja – Satu Hak Asasi.

    Taklimat pada jerayawara itu telah disampaikan oleh tiga orang pegawai iaitu ahli psikologi dari Perkhidmatan Psikologi Klinikal dan Komuniti, Kementerian Kesihatan, Dayang Siti Nurelliyyana binti Haji Matussin; ahli psikologi dari Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Dayang Siti Nadzirah binti Haji Abdullah; dan Pemangku Penolong Pengarah Jabatan Hal Ehwal Syariah, KHEU, Haji Saharuddin bin Haji Patra.

    Dayang Siti Nurelliyyana dalam taklimatnya bertajuk Kesihatan Mental: Hak Asasi Semua antara lain menggariskan, penyakit mental memerlukan diagnosis oleh bahagian pakar.

    Penyakit mental mempunyai kesan yang ketara terhadap perasaan, pemikiran, tingkah laku dan interaksi seseorang dengan orang lain dan ia boleh disebabkan faktor biopsikososial.

    Dayang Siti Nurelliyyana semasa menyampaikan taklimat bertajuk Kesihatan Mental: Hak Asasi Semua. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA

    Beliau turut menjelaskan, seseorang yang mempunyai penyakit mental mempunyai risiko kepada dirinya dan orang lain, lebih-lebih lagi jika ia mempunyai fikiran untuk mencederakan dirinya sendiri dan orang di sekelilingnya.

    “Amat penting untuk menggalakkan semua orang yang mempunyai tanda-tanda penyakit mental untuk mendapatkan rawatan yang sedia ada,” jelasnya.

    Acara diteruskan dengan taklimat bertajuk Kesihatan Mental dari Perspektif Islam oleh Haji Saharuddin manakala Dayang Siti Nadzirah menyampaikan taklimat bertajuk Pengenalan Psychological First Aid.

    Antara lain tujuan jerayawara adalah untuk meningkatkan kesedaran, pencegahan dan pengurusan kesihatan mental, kesejahteraan diri serta mengurangkan stigma, pandangan negatif terhadap kesihatan mental khususnya dalam kalangan warga perkhidmatan awam.

    Ia juga diharap untuk menjadi platform pembarigaan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental dan kesejahteraan diri yang terdapat di negara ini.

    Selain pameran, jerayawara juga memuatkan beberapa taklimat yang mengetengahkan topik-topik berkaitan dengan kepentingan kesihatan mental dan kesejahteraan di tempat kerja.

    Jerayawara secara in-house training itu dikendalikan oleh Bahagian Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pentadbiran, KHEU dengan kerjasama Pusat Promosi Kesihatan, dan Perkhidmatan Psikiatri Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) serta Perkhidmatan Psikologi Masyarakat, Kementerian Kesihatan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda