Friday, December 27, 2024
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kurangnya infrastruktur pejalan kaki, pengguna basikal

    Kekurangan infrastruktur untuk pejalan kaki dan pengguna basikal di Brunei adalah masalah serius yang memerlukan perhatian segera.

    Kekurangan laluan yang menyeluruh dan lorong basikal yang selamat menjadikan pergerakan tanpa kenderaan di negara ini bukan sahaja sukar tetapi juga berbahaya.

    Di luar bandar dan kawasan perumahan, penduduk sering terpaksa menggunakan jalan raya yang dikhaskan untuk kenderaan kerana ketiadaan laluan pejalan kaki. Keadaan ini jelas meningkatkan risiko kemalangan bagi mereka yang hanya ingin berjalan kaki untuk urusan harian.

    Keadaan lebih membimbangkan bagi pengguna basikal, di mana lorong basikal hampir tidak wujud. Mereka terpaksa berkongsi jalan dengan kenderaan bermotor, terutama di kawasan sibuk, menjadikan aktiviti berbasikal terlalu berisiko untuk dijadikan pengangkutan harian.

    Laluan pejalan kaki yang ada juga sering kali dibiarkan rosak atau tidak diselenggara.

    Permukaan laluan yang retak, berlubang, atau tidak rata membahayakan pejalan kaki, terutamanya warga tua, kanak-kanak dan mereka yang memerlukan bantuan khas.

    Pada waktu malam, ketiadaan pencahayaan yang mencukupi di laluan pejalan kaki menambah risiko tersandung atau terjatuh. Ini menunjukkan kurangnya perhatian terhadap keselamatan pengguna jalan raya yang tidak menggunakan kenderaan.

    Kemudahan untuk menyeberang jalan juga terhad di kawasan sibuk. Pejalan kaki terpaksa menunggu lama atau menyeberang di tempat yang tidak disediakan, yang meningkatkan risiko kemalangan.

    Oleh itu, diharapkan pihak berwajib dapat segera menambah dan memperbaiki laluan pejalan kaki serta membina lorong basikal yang selamat demi kesejahteraan dan keselamatan penduduk Brunei.

    Awang Peduliman

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda