ISTANBUL, 20 OKT – Turki menggesa Amerika Syarikat menggunakan pengaruhnya untuk memastikan pasukan tentera Kurdis keluar dari zon selamat di sempadan Syria, mengikut perjanjian yang dipersetujui dengan Washington.
“Kami amat komited dengan perjanjian ini, iaitu mereka (Kurdis) sepatutnya keluar dalam tempoh lima hari dan sudah memaklumkan rakan sejawat di Amerika Syarikat, supaya menggunakan pengaruh serta hubungan mereka untuk memastikan mereka (Kurdis) keluar tanpa sebarang insiden,” kata jurucakap presiden, Ibrahim Kalin kepada wartawan dalam satu temu bual di sini.
Semalam, pasukan tentera Turki dan Kurdis menuduh satu sama lain melanggar perjanjian gencatan senjata di timur laut Syria, yang bertujuan menghalang Ankara daripada melancarkan serangan, sehinggalah tentera Kurdis keluar dari zon selamat di sempadan.
Perjanjian yang dipersetujui hasil rundingan Amerika Syarikat memberi tempoh lima hari kepada tentera Kurdis untuk berundur, dan ia bakal tamat pada Selasa ini.
Kalin berkata, Turki akan mematuhi perjanjian itu hingga tempohnya tamat.
“Sejak kami mencapai persetujuan mengenai perjanjian ini dengan delegasi Amerika Syarikat, kami amat komited dengannya.
“Presiden kami sudah mengarahkan pasukan tentera supaya kekal di posisi masing-masing, dan tidak menyerang mana-mana pihak,” katanya. – AFP