Wednesday, May 14, 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kurikulum baharu tingkat keupayaan pelatih PKBN

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh Muiz Matdani

    BANDAR SERI BEGAWAN, 16 MAC – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam percaya para alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) kini lebih bersedia untuk menghulurkan khidmat bakti mereka secara sukarela bagi menangani kejadian bencana alam apabila diperlukan.

    Ini terbukti dengan adanya kurikulum baharu untuk memberi pengetahuan, kemahiran dan kelayakan para pelatih dalam bersiapsiaga menghadapi bencana asas, menurut Baginda Sultan semasa berkenan mengurniakan titah pada

    Upacara Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-11 di Padang Kawad, Kem Latihan PKBN, Batu Apoi, hari ini.

    Selain itu, titah Baginda lagi, Bahagian Khidmat Bakti Negara juga mengambil inisiatif memperkenalkan beberapa kurikulum baharu yang memberi tumpuan kepada pertahanan awam atau civil defense demi memastikan latihan PKBN sentiasa relevan.

    Selain itu, nilai-nilai tambah yang berunsurkan kerohanian dan latihan fizikal juga diterapkan dalam latihan tersebut.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan berangkat memeriksa Perbarisan Tamat Latihan PKBN Pengambilan ke-11.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah.

    Mengambil sukut kejayaan latihan-latihan PKBN sebelum ini, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dimaklumkan Bahagian Khidmat Bakti Negara dengan kolaborasi bersama Manpower Planning and Employment Council (MPEC) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah memperkenalkan Program Jati Diri khusus bagi para penuntut IBTE dalam Program iSkills.

    “Program selama 90 hari ini adalah julung-julung kali dilaksanakan pada 20 Ogos 2022 dan bertujuan untuk mengukuhkan integriti, disiplin dan daya tahan para penuntut tersebut.

    “Beta percaya program jati diri seperti ini boleh dilaratkan kepada pegawai-pegawai muda yang baru berkhidmat di sektor awam dan sektor swasta khusus untuk menerapkan bukan sahaja pengukuhan jati diri, tetapi juga mempertingkatkan kualiti kepimpinan diri,” jelas Baginda Sultan.

    Terdahulu, Baginda memaklumkan bahawa jumlah pelatih iaitu seramai 539 orang yang telah menamatkan latihan hari ini adalah jumlah yang tertinggi di dalam sejarah perlaksanaan PKBN dan ia mencerminkan keberkesanan serta nilai yang tinggi latihan PKBN.

    Baginda turut mengambil maklum Kem Latihan PKBN turut dijadikan sebagai Pusat Pengasingan Komuniti COVID-19 bagi sama-sama menangani penularan wabak COVID-19 di negara ini.

    “Ini mencerminkan kem latihan bukan sahaja digunakan bagi perlaksanaan latihan PKBN, malah juga dimanfaatkan untuk fungsi-fungsi yang lain jika diperlukan.”

    Di penghujung titah, Baginda mengucapkan tahniah dan syabas atas kesungguhan para pelatih dan sokongan para ibu bapa dan penjaga di sepanjang latihan PKBN selama tiga bulan.

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda