BUAH kurma begitu sinonim dengan bulan Ramadan. Makanan sunah ini boleh dikatakan hanya dimakan pada bulan puasa sahaja dan selepas itu kita mungkin tak jumpa lagi dengan kurma. Buah yang berkhasiat ini sangat baik diamalkan walaupun pada bulan-bulan lain. Selama ini mungkin kita tidak faham dengan jenis-jenis kurma yang banyak di pasaran. Yang kita faham setiap satu daripadanya ada perbezaan.
Sejarah kurma secara ringkas
Buah kurma telah menjadi makanan harian penduduk Timur Tengah sejak beribu-ribu tahun. Pokok kurma ini dipercayai berasal dari sekitar Teluk Parsi dan telah ditanam sejak zaman Mesopotamia ke zaman Mesir prasejarah, mungkin seawal 4000 Sebelum Masihi (SM). Terdapat bukti arkaeologi tentang penanaman kurma di timur Arab pada tahun 6000 Sebelum Masihi.
Pada zaman berikutnya, orang Arab telah menyebar kurma sehingga ke Asia Selatan dan Tenggara, Afrika Utara dan Sepanyol. Kurma diperkenalkan di Mexico dan California oleh orang Sepanyol pada tahun 1765.
Kurma juga merupakan tanaman tradisional di Iraq, Semenanjung Arab dan barat Afrika Utara hingga ke Maghribi. Di beberapa negara Islam khususnya Asia Barat, hidangan kurma dan yogurt atau susu telah menjadi satu hidangan tradisional pertama apabila matahari terbenam sewaktu bulan Ramadan.





Kematangan buah kurma ada empat peringkat
Kurma masak terdiri daripada empat peringkat, masing-masing dikenali dengan nama Arabnya di seluruh dunia, iaitu kimri (matang), khalal (saiz-penuh, rangup), rutab (masak, lembut) dan tamr (masak, keringan matahari).
Daripada 100 gram kurma segar, ia mengandungi sumber premium vitamin C dan dapat membekalkan 230 kcal (kilokalori) tenaga. Oleh sebab kurma mengandungi hanya sedikit air, buah ini tidak bertambah sarinya apabila dikeringkan, walaupun vitamin C hilang dalam proses pengeringan.
8 jenis kurma yang popular
1. Kurma Ajwa
Kurma ajwa adalah jenis kurma kesukaan Nabi Muhammad SAW yang berasal dari Madinah dan juga yang paling digemari oleh umat Islam di dunia. Ciri-ciri Kurma Ajwa yang asli adalah warnanya yang hitam pekat dan terdapat beberapa garis kecil. Kurma Ajwa tidak terlalu manis dan bertekstur lembut. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda terkait kurma ajwa ini:
“Barangsiapa mengambil tujuh butir Kurma Ajwa pada pagi hari, maka pada hari itu ia tidak akan terkena racun mahupun sihir.” (Hadis Riwayat Bukhari)
2. Kurma Medjool (Majdoul)
Kurma Medjool banyak tumbuh di iklim yang panas dan kering seperti di Timur Tengah dan Afrika. Isi buahnya agak gemuk, lembab dan manis. Ia mengandungi serat dan mineral penting seperti potassium, magnesium, tembaga dan mangan. Ciri-ciri kurma jenis ni berwarna coklat gelap. Rasanya sederhana manis dan berlemak. Isi buahnya gemuk dan bertekstur lembut. Ianya sangat sesuai dibuatkan susu kurma.
3. Kurma Safawi
Kurma Safawi ada terdapat di Madinah dan Mekah. Ia berwarna coklat gelap dan rasanya yang manis, mirip dengan rasa Kurma Ajwa. Isi buahnya lembab dan bertekstur lembut. Ciri-ciri pohon kurma Safawi adalah produktif. Itulah yang membuatkan Kurma Safawi lebih banyak tersedia dan mudah didapati jika dibandingkan dengan kurma lain.
4. Kurma Deglet Nour (Kurma bertangkai)
Kurma Deglet Nour berwarna kemerahan dan kekuningan. Rasanya halus, tidak semanis dan selembab kurma Medjool. Deglet Nour adalah kurma yang paling banyak ditanam di Afrika Utara. Biji dalam isi buah kurma ini boleh dilihat bila kurma ini didekatkan pada cahaya. Ia juga dikenali sebagai kurma bertangkai di Malaysia.
5. Kurma Mariami
Kurma Mariami berwarna coklat kehitaman, mempunyai rasa halus dan lembut. Kurma jenis ini banyak terdapat di Iran. Kurma ini popular kerana rasa yang manis, lembut dan harganya murah.
6. Kurma Muda (Rutob)
Rutob adalah kurma segar yang baru masak. Kurma jenis ini memang susah dijumpai di negara kita kerana tidak dapat bertahan lama dan akan bertukar warna kecoklatan dan kehitaman seperti kurma kering lain. Ada banyak jenis Rutob bergantung pada rasa, warna dan teksturnya. Semakin sedap dan berkualiti, semakin mahal harganya. Rasa rutob tidak terlalu manis dan ranggup.
7. Kurma Mabroom
Struktur buah ini ramping, panjang dan padat. Rasanya tidak terlalu manis. Kurma Mabroom kaya dengan serat, vitamin dan mineral. Kurma Mabroom ini tergolong dalam kelas premium dan mahal harganya.
8. Kurma Sukkary
Kurma Sukkary sangat manis dan lembab. Ia dapat memberikan kita tenaga dengan cepat jika dimakan. Kurma jenis ini tumbuh di daerah Qaseem, Arab Saudi. Warnanya hampir kemerahan ketika pertama kali mengering. Bila semakin kering, warnanya akan menjadi kuning keemasan. – Agensi