Thursday, April 17, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kurnia kepada rakyat

    Oleh Salawati Haji Yahya & Sim.Y.H

    Gambar oleh Muiz Matdani & Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN,18 Feb – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan menganugerahkan anak-anak kunci rumah di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati (STKRJ) bagi Daerah Brunei dan Muara kepada seramai 545 orang penerima pagi tadi.

    Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Dewan Canselor Universiti Brunei Darussalam (UBD) dijunjung oleh Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Suhaimi bin Haji Gafar.

    Turut menjunjung keberangkatan tiba Baginda Sultan ke majlis itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Timbalan Menteri Pembangunan, Haji Marzuke bin Haji Mohsin dan Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.

    Dari jumlah tersebut, 489 orang menerima rumah jenis kluster di bawah Rancangan Perumahan Negara (RPN) Lugu, sementara 24 orang menerima rumah jenis teres di bawah RPN Panchor (Mengkubau), 10 orang di bawah RPN Meragang, tiga orang di bawah RPN Tanah Jambu dan 19 orang di bawah STKRJ Kampung Lugu.

    Awang Misle dalam sembah alu-aluannya antara lain menyembahkan, penganugerahan anak-anak kunci ini setentunya memberikan sinar cahaya kehidupan tempat berteduh yang lebih selesa kepada para penerima anak kunci.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan dijunjung bergambar ramai bersama salah sebuah keluarga penerima di RPN Lugu. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan menerima junjung ziarah daripada penduduk.
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan dijunjung bergambar ramai di RPN Lugu. – Gambar oleh Infofoto
    Kebawah Duli Yang Maha Mulia ketika berkenan dijunjung bergambar ramai bersama keluarga Awang Mohammad Hilmi bin Haji Wasli di RPN Lugu.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ketika berkenan mengurniakan anak kunci rumah kepada salah seorang penerima anak-anak kunci rumah jenis kluster di Lugu serta rumah teres di Panchor (Mengkubau), Meragang dan Tanah Jambu di bawah Rancangan Perumahan Negara dan Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati bagi Daerah Brunei dan Muara.
    Antara penerima plak rumah pada majlis yang berlangsung di UBD.

    Beliau seterusnya menyembahkan mewakili penerima dengan penuh rasa hormat dan takzim, merafakkan sembah menjunjung kasih setingginya ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi menyempurnakan penganugerahan anak-anak kunci rumah.

    Doa Selamat dibacakan oleh Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Daerah Brunei dan Muara, Haji Mohd Shah bin Haji Taip.

    Pada majlis penyempurnaan penganugerahan anak-anak kunci rumah kali ini, Baginda Sultan berkenan menumpukan lawatan ke dua buah institusi pendidikan tinggi, di mana Baginda mula-mula membuat lawatan ke Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), UBD seterusnya ke Universiti Teknologi Brunei (UTB), Jalan Tungku Link, Mukim Gadong A.

    Dengan lawatan ke institusi-institusi berkenaan membuktikan Baginda terus memberikan perhatian mengenai perkembangan dan kemajuan pendidikan di negara ini selaras dengan Wawasan Brunei 2035 dalam melahirkan rakyat yang berpendidikan, berkemahiran tinggi dan berjaya.

    Selesai membuat lawatan di kedua-dua institut pengajian tinggi itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia seterusnya berkenan berangkat ke rumah Ketua Kampung Jerudong dan Pemangku Ketua Kampung Jerudong ‘B’ (Peninjau), Haji Mohammad Rais bin Haji Ishak.

    Keberangkatan Baginda Sultan dijunjung oleh Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-undang) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN) Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud dan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Salminan bin Haji Burut.

    Turut menjunjung, Timbalan Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Kesejahteraan) di KHEDN, Awang Ajman bin Haji Meludin; Timbalan Setiausaha Tetap (Bandaran dan Daerah) di KHEDN, Awang Abdul Walid bin Haji Matassan dan Haji Mohammad Rais.

    Baginda Sultan kemudian dijunjung bagi menandatangani lembaran kenangan, kemudian berkenan menerima pesambah.

    Pada keluasan 60 kilometer persegi, Kampung Jerudong mempunyai jumlah penduduk seramai 11,000 orang dan lebih 1,000 buah rumah secara keseluruhan.

    Dari kediaman ketua kampung, Baginda kemudian berkenan meneruskan lawatan ke rumah-rumah penerima anak kunci di bawah RPN Lugu, Mukim Sengkurong.

    Pada keluasan 130 meter persegi, setiap unit rumah kluster di kawasan RPN Lugu ini pula mempunyai empat bilik tidur, bilik mandi dan dapur.

    Secara keseluruhannya, perumahan di kawasan RPN Lugu ini mempunyai 1,000 unit rumah jenis kluster.

    Kawasan perumahan ini merupakan satu konsep pembangunan perumahan komprehensif lengkap dengan ruang tanah untuk kemudahan awam di masa hadapan seperti sekolah, masjid, taman dan kawasan rekreasi serta taman permainan.

    Sejak Negara Brunei Darussalam mencapai kemerdekaan pada tahun 1984 di bawah pimpinan Baginda Sultan, rakyat dan penduduk di negara ini telah dan terus menikmati berbagai kemudahan antaranya penyediaan perumahan.

    Ini jelas mencerminkan keprihatinan dan pemedulian Kebawah Duli Yang Maha Mulia kepada rakyat dan penduduk negara ini serta secara langsung membuktikan komitmen kerajaan dalam mendukung hasrat dan cita-cita Baginda khususnya dalam menyediakan perumahan yang berkonsep berdaya tahan dan mampu milik.

    Ini selaras dengan salah satu objektif Rancangan Kemajuan Negara ( RKN) untuk mempertingkatkan kualiti kehidupan rakyat yang tinggi.

    Menurut perangkaan terkini Jabatan Kemajuan Perumahan, Kementerian Pembangunan hingga ke hari ini, lebih 28,000 buah rumah dan lot tanah di bawah Skim Perumahan Negara (SPN) seluruh negara telah dianugerahkan kepada para penerima yang berkelayakan.

    Dari jumlah berkenaan 18,699 orang adalah pemohon di Daerah Brunei dan Muara; 6,581 orang pemohon di Daerah Belait; 2,695 orang pemohon di Daerah Tutong, manakala 635 orang pemohon di Daerah Temburong.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda