Thursday, March 20, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kurnia peribadi bawa keceriaan menjelang Aidilfitri

    Oleh Salawati Haji Yahya –
     
    TEMBURONG, 19 MAC – Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam kepada golongan tertentu di negara ini, lebih-lebih dalam menyambut kedatangan Syawal telah membawa keceriaan kepada mereka selepas menerima kurnia peribadi Baginda hari ini.
     
    Dalam temu bual dengan beberapa penerima di Daerah Temburong pada Majlis Penyerahan Kurnia Peribadi Baginda di Dewan Belalong, Kompleks Dewan Kemasyarakatan Pekan Bangar, Dayang Ainul Mardiah Masyitah binti Abdullah, 10, yang ditemani oleh ibunya, Dayang Farah Aina binti Sani, melahirkan rasa syukur atas kurnia peribadi Baginda Sultan.
     
    Seperti tahun-tahun sebelumnya, jelas ibu Dayang Aniul, kurnia peribadi yang diterima akan digunakan untuk membeli barangan keperluan anaknya dan sebahagian lagi akan disimpan untuk pembelajarannya.
     
    “Ainul Mardiah Masyitah dirujuk ke Pusat Perkembangan Kanak-kanak semasa berusia dua tahun, dan tahun ini adalah tahun kelapan Ainul menerima kurnia peribadi Baginda sempena Hari Raya Aidilfitri,” jelasnya.
     
    Sementara itu, Awang Muhammad Ashim Amrullah bin Abd Rahman Menchok @ Degelas Manchok, melihat Baginda raja yang berjiwa rakyat dan memiliki sifat prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat yang bernaung di bumi Darussalam. 
     
    Sena dan Kenddy Anthony semasa ditemu bual media. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Sayidadutuna Rosnani. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Dayang Nur Suryani. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Dayang Ainul Mardiah Masyitah bersama ibunya, Dayang Farah Aina. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    Awang Muhammad Ashim Amrullah. – GAMBAR OLEH SALAWATI HAJI YAHYA
    “Tahun ini adalah tahun yang kelima menerima kurnia peribadi Baginda untuk kategori bantuan kebajikan,” jelasnya.
     
    Dengan kurnia peribadi ini dapatlah menampung serba sedikit perbelanjaan dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dan perbelanjaan harian untuk keperluan isteri dan juga anak-anaknya.
     
    Manakala Dayang Nur Suryani binti Abdul Rahman, 17, penerima kategori anak-anak yatim, dari Kampung Amo, mengongsikan, kurnia peribadi yang diterima akan digunakan sebahagiannya untuk keperluan pembelajaran.
     
    Penerima kategori orang kurang upaya (OKU), Dayang Sayidadutuna Rosnani binti A. Nordin, 45, dari Kampung Amo A, mengongsikan ini adalah tahun kedua menerima kurnia peribadi Baginda.
     
    Beliau berkata kurnia peribadi itu akan digunakan untuk membeli keperluan khusus dan sebahagian lagi akan disimpan.
     
    Salah seorang penerima bantuan kebajikan, Sena Anak Dom, 50, dan anaknya, Kenddy Anthony, 25 penerima bagi kategori OKU dari Kampung Batang Duri, ketika ditemui, telah mengongsikan kurnia yang diterima akan digunakan untuk keperluan harian dan sebahagian akan disimpan untuk keperluan kecemasan.
     
    Walaupun bukan beragama Islam, keprihatinan Baginda terhadap kesejahteraan dan kebajikan rakyat tetap diberikan sama rata, dan berasa bersyukur kerana mempunyai seorang raja seperti Baginda.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda