Ahad, 23 November 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus asas haji, umrah dibukakan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Sebagai usaha menyebarluaskan ilmu manasik haji dan umrah serta mempersiapkan bakal jemaah dari aspek fizikal, rohani dan mental, Kursus Asas Haji dan Umrah Tahun 1447H/2025M telah dibukakan kelmarin dan akan berakhir 19 Oktober ini.

    Menurut kenyataan Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), hari ini, kursus itu merangkumi enam sesi yang diadakan setiap Ahad, dengan setiap sesi berlangsung selama dua jam, bermula 8 hingga 10 pagi, dan dikendalikan secara serentak di tujuh buah masjid terpilih di keempat-empat daerah.

    Bagi Daerah Brunei dan Muara, kursus dijalankan di Masjid Mohamed Bolkiah, Kampung Serusop; Masjid Sultan Sharif Ali, Kampung Sengkurong; Masjid Hassanal Bolkiah, Kampung Mentiri; dan Masjid Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Kampung Rimba.

    Di Daerah Belait, kursus diadakan di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait; di Daerah Tutong bertempat di Masjid Hassanal Bolkiah Pekan Tutong; manakala di Daerah Temburong, ia dijalankan di Masjid Utama Mohammad Salleh, Pekan Bangar.

    Para pengkursus terdiri daripada penolong pensyarah Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), imam dari Jabatan Hal Ehwal Masjid, serta pegawai berpengalaman dari Pusat Dakwah Islamiah dan KHEU yang telah bersara serta berkelayakan dengan sijil tauliah daripada Majlis Ugama Islam Brunei.

    Bakal jemaah haji tahun 1447H/2026 Masihi, termasuk mereka yang berada dalam senarai menunggu, serta orang ramai yang berminat mendalami ilmu asas ibadat haji dan umrah, turut dialu-alukan untuk menghadiri kursus ini bagi memperkukuh persediaan mereka sebelum menunaikan ibadah.

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda