Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 April – Kursus Asas Pengendalian Tempat Jenayah sesi pertama tahun ini yang diadakan selama lapan minggu berakhir hari ini dengan majlis penutup diadakan di Pusat Latihan Polis Gadong.
Hadir selaku kehormat ialah Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Penolong Pesuruhjaya Polis, Haji Mohammad Hassan bin Pehin Penyurat Haji Ahmad.
Turut hadir ialah pegawai kanan Polis Diraja Brunei (PDB), Pegawai Bahagian Penguat Kuasa Ugama (BPU), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Perkhidmatan Saintifik, Kementerian Kesihatan.
Kursus berkenaan disertai oleh 13 orang anggota PDB dan dua orang pegawai BPU,di mana Awang Tajudin bin Taji dipilih sebagai peserta kursus terbaik.

Objektif kursus berkenaan adalah bagi mempersiapkan anggota pasukan dengan ilmu pengetahuan dan juga kemahiran dalam menangani pengendalian tempat kejadian dan bahan bukti.
Pengendalian tempat kejadian jenayah merupakan proses siasatan terawal dan sangat penting kerana ia boleh membantu penyelesaian kertas penyiasatan. Kaedah ini harus dilakukan dengan teliti serta memenuhi dan mematuhi syarat-syarat yang diiktiraf oleh pihak mahkamah.