Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 1 NOV – Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD) melalui Jabatan Pengadilan telah mengadakan majlis penutup Kursus Asas Pengadil di Dewan Serba guna Rumah NFABD kelmarin.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Presiden NFABD, Pengiran Haji Matusin bin Pengiran Haji Matasan.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung NFABD, Awang Mohammad Shahnon bin Haji Mohd Salleh; Timbalan Setiausaha Agung NFABD, Dayang Siti Zuraina binti Abdullah; Presiden Persatuan Pengadil Bolasepak Brunei Darussalam, Haji Hamidon bin Haji Mohd Zin; ahli-ahli jawatankuasa NFABD dan pengadil-pengadil tertinggi dari NFABD.
Kursus yang dijalankan selama lima hari tersebut diadakan secara berselang-seli pada hari Jumaat dan Ahad bermula 18 Oktober itu bertujuan untuk membantu peserta membina konsep asas dan langkah-langkah yang diambil dalam menjadi pengadil bola sepak.
“Objektif kursus ini diadakan adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama di Brunei Darussalam bahawa ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk menjadi pengadil perlawanan,” menurut Pengarah Pengadil NFABD, Awang Abdul Razak bin Anuar semasa temu bual bersama media.

“Satu lagi objektif ia diadakan adalah untuk meningkatkan jumlah pengadil di Brunei Darussalam. Kami memerlukan pengadil yang kami boleh menaruh kepercayaan untuk mengadili perlawanan terutama dalam perlawanan utama di Brunei Darussalam,” tambahnya.
“Para pelatih yang terlibat dalam kursus ini akan membantu mereka membuat keputusan yang tepat di dalam padang dan tidak mengganggu perlawanan latihan yang kami anjurkan kepada mereka.”
“Kami berharap dengan adanya kursus ini, kami dapat memberikan latihan dan bersedia jika sekiranya sekatan COVID-19 dikurangkan apabila perlawanan boleh diadakan.”
Bagi pengadil bola sepak baharu, mereka akan diberikan masa untuk menjalankan tanggungjawab pengadilan di peringkat kejohanan tertinggi seperti liga kebangsaan dan akan bermula dari kejohanan peringkat sekolah.
“Sudah semestinya sebagai pengadil baharu, kami tidak akan mengambil risiko untuk mereka terus mengadili perlawanan liga utama di Brunei Darussalam.
“Mentor kami akan memberi tunjuk ajar dan memerhatikan mereka bagi memastikan mereka berada di landasan yang tepat untuk bergerak lebih tinggi dalam pengadilan di Brunei Darussalam.”
Awang Abdul Razak berkata bahawa ini akan menjadi laluan kepada pengadil untuk meningkatkan diri mereka agar dikenali sebagai pengadil di Brunei Darussalam.
Beliau turut menjelaskan mengenai tahap kelayakan atau apa yang diperlukan oleh peserta dalam kursus asas futsal. “Selagi mana mereka berminat dalam bola sepak ini bermakna mereka pernah bermain bola sepak sebelum ini kerana jika mereka tidak pernah bermain sebelum ini, mereka tidak akan mengetahui peraturan perlawanan,” katanya.
“Dengan menceburi dalam kursus asas ini, mereka perlu memahami bagaimana untuk mengadili perlawanan. Kemudian dengan latihan dan pengalaman, mereka akan menjadi lebih baik dan meningkat.” Rancangan pada masa hadapan termasuk menganjurkan kursus pertengahan dan kemudian kursus lanjutan.
Awang Abdul Razak turut menggalakkan pengadil bola sepak untuk menghadiri kursus pertengahan bagi mendapatkan pengetahuan yang lebih baik dalam mengadili perlawanan.
“Selepas tamat daripada kursus asas ini dan apabila mereka menghadiri kursus lanjutan, ini adalah masanya kami memberikan mereka peluang untuk mengadili perlawanan di liga utama Brunei Darussalam.
“Jika mereka betul-betul bagus, berdedikasi dan komited, dan mempunyai minat untuk terus mara ke hadapan, kami merancang untuk meningkatkan mereka ke FIFA.”
Mengongsikan pendapat beliau berkenaan dengan peserta yang ingin menjadi pengadil, beliau berkata, “Apabila mereka pertama kali memulakan kursus, saya memberitahu kepada mereka bahawa disiplin adalah sangat penting. Tanpa disiplin, kita tidak akan ke mana-mana.”
Seramai 19 orang peserta dan enam orang pelatih telah mengambil bahagian dalam kursus tersebut.