Oleh Daniel Lim
BELAIT, 31 JAN – Kursus Skim Bimbingan Asas selama 14 hari bagi mualaf lelaki siri ke 191 anjuran Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait berakhir dengan majlis penutup yang diadakan di Dewan Serba Guna Pejabat Bahagian Dakwah Daerah Belait, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Kawalan Makanan Halal, Pejabat Hal Ehwal Ugama Daerah Belait, Awang Mohd Noor Suffian bin Haji Yahya yang dialu-alukan oleh Ketua Bahagian Dakwah Daerah Belait, Hajah Salimah binti Haji Hassan.
Kursus yang diadakan bermula pada 14 hingga 30 Januari itu dihadiri seramai 14 orang mualaf lelaki yang menetap di Daerah Belait.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat, diikuti dengan ucapan daripada tetamu kehormat majlis yang antara lain berharap agar kursus berkenaan dapat memberikan para peserta ilmu pengetahuan yang dapat dipraktikkan ke dalam kehidupan seharian mereka.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan ucapan daripada para peserta, diikuti dengan penyampaian sijil kepada para peserta kursus yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis dan diakhiri dengan sesi bergambar ramai.
Kursus berkenaan dirancang akan diteruskan lagi pada masa akan datang bagi membantu para peserta khususnya untuk melengkapi diri mereka dengan ilmu pengetahuan yang berkaitan dengan agama Islam.
