Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus cari tumbuhan boleh dimakan

    LONDON – Kenneth Greenway dibanjiri dengan permintaan untuk mengadakan kursus mencari makanan yang dikendalikannya di Taman Perkuburan Tower Hamlets di timur London.

    Latar langit bandar kelihatan di kejauhan dari antara batu-batu nisan, tempat orang mati dikebumikan selama lebih 100 tahun dari 1841 hingga 1966.

    Namun tarikan utama adalah sayuran liar, jelatang dan herba-herba lain yang boleh dimakan yang tumbuh di sekelilingnya.

    Greenway, yang berusia 47 tahun dan menghabiskan masa 22 tahun bekerja di taman itu, berkata bahawa tanah perkuburan itu adalah tempat yang sesuai untuk mencari makanan.

    “Awda tidak boleh sesuka hati membawa jentera dan memangkas semuanya. Jadi, semuanya dibiarkan tumbuh liar,” katanya.

    Para peserta kursus yang dikendalikan oleh Forage London ditunjukkan sekuntum bunga dandelion oleh pemandu pelancong dan renjer taman, Kenneth Greenway di Taman Perkuburan Tower Hamlets, di London pada 18 Mei lalu. – AFP
    Peserta menunjukkan beg plastik yang penuh dengan tumbuhan yang diperolehi. – AFP
    Biji benih daripada sejenis tumbuhan berbunga boleh dilihat ketika kursus berkenaan. – AFP
    Kenneth Greenway mengetuai kumpulan yang mengambil bahagian dalam kursus mencari tumbuhan boleh dimakan. – AFP
    Peserta memakan daun pokok limau balsem. – AFP
    Salah seorang peserta menghidu bau daun tumbuhan kayu manis. – AFP
    Salah seorang peserta memegang bunga alkanet hijau. – AFP
    Para peserta ditunjukkan cara memilih tumbuhan oleh Kenneth Greenway. – AFP

    Hasilnya, senarai tumbuhan yang tumbuh di sana adalah ‘sepanjang lengan awda’, dia memberitahu kumpulan mencari makan seramai 18 orang, sambil menyebut nama-nama tumbuhan yang digunakan untuk membuat salad, sup, sirap, jem dan teh herba.

    Kumpulan berkenaan terdiri daripada orang muda dan tua.

    George Page, 59, menerima kursus itu sebagai hadiah Hari Ibu daripada anak perempuannya, Maddie, 21.

    “Kami banyak berkebun dan kami telah bercakap mengenainya sebelum ini, mahu makan makanan yang boleh kami perolehi sendiri,” jelas Maddie.

    “Saya sebenarnya takut,” tambah ibunya sambil ketawa. “Saya fikir kami akan mati serta-merta!”

    Greenway memberikan beberapa petua asas sebelum kumpulan berkenaan bermula.

    “Awda memetik daun bahagian atas, daunnya yang kelihatan cantik,” jelasnya sambil memberi amaran kepada mereka supaya tidak memakan tumbuhan melainkan mereka pasti apa tumbuhan itu.

    Pada saat itu, seorang kanak-kanak berusia lima tahun memasukkan pakis ke dalam mulutnya. “Jangan makan paku-pakis dan kebanyakan rumput,” kata Greenway, memberitahu mereka bahawa kebanyakannya tidak boleh dimakan.

    Selepas taklimat ringkas, kumpulan itu memulakan pencarian. Mereka menyentuh, menghidu, memerhati dan merasa, pada mulanya secara berhati dengan bibir mereka, kemudian lebih yakin.

    “Adakah awda mengenali daun-daun itu?” jurupandu itu bertanya kepada mereka sambil mereka mengambil herba balsem lemon.

    “Baunya harum,” kata seorang peserta yang meletakkan sehelai daun di bawah hidung dan kemudian ke dalam mulutnya.

    Di hujung satu kubur, Greenway menunjukkan beberapa strawberi liar kemudian lebih jauh ke hadapan, sejenis sayuran.

    “Ia adalah tumbuhan asli dari Britain. Ia sangat pedas,” dan sesuai untuk telur dadar, kumpulan itu diberitahu.

    “Memang tidak masuk akal! Ia tumbuh di mana-mana. Saya tidak tahu kita boleh memakannya,” salah seorang peserta mencelah sambil mengumpulkan beberapa daun ke dalam beg plastik untuk dibawa pulang.

    Beberapa meter ke hadapan dan kumpulan itu tiba di hadapan sejenis tumbuhan berbunga, yang dikatakan oleh Greenway sebagai ‘pengganti mustard yang hebat’.

    Di depan lagi terdapat beberapa mustard bawang putih, tumbuhan yang invasif dan ‘sesuai untuk membuat pesto’.

    Jelatang digambarkan sebagai ‘tumbuhan yang banyak kegunaannya contohnya untuk sup, omelet, smoothie’.

    “Dan bukan penghujung dunia jika awda disengat,” kata Greenway, walaupun pencari makanan kelihatan tidak yakin.

    Terdapat juga artemisia, atau mugwort biasa, dengan rasa yang serupa dengan thyme dan sage, serta dicari oleh pembuat koktel.

    “Kami hanya berjalan sejauh 100 meter dan kami telah menemui kira-kira 10 tumbuhan berbeza untuk dimakan,” kata Amanda Fitzpatrick, seorang doktor berusia 41 tahun.

    Suaminya Brian Harvey, 42, berkata dia tidak percaya begitu banyak tumbuhan boleh dimakan. “Tinggal di bandar awda sering buta” terhadap dunia semula jadi di sekeliling, tambahnya.

    Greenway menjalankan kursus mencari makanan sepanjang tahun. Semua guru mencari makanan “dibanjiri dengan permintaan”, katanya.

    “Saya rasa peningkatan minat kebelakangan ini adalah susulan daripada pandemik baru-baru ini, dengan lebih ramai orang menghabiskan masa di taman memikirkan tentang tumbuh-tumbuhan, tertanya-tanya apa yang boleh mereka lakukan dengannya.”

    Selepas tiga jam, para peserta kursus itu berpisah dengan membawa daun, bunga dan resipi baharu.

    George Page, misalnya, telah diyakinkan tentang keselamatannya dan bertekad untuk pergi memetik tumbuhan lagi, ‘sebagai satu pasukan’ dengan anak perempuannya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda