Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OGOS – Dalam usaha menyediakan platform untuk guru-guru menimba peluang meneroka, memahami dan menghasilkan multimedia visual dan audio bagi kepentingan pengajaran dan pembelajaran, Sekolah Menengah Berakas melalui Pusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (STEP), Kementerian Pendidikan menganjurkan kursus Basic Designing Using Canva bermula hari ini.
Kursus yang akan diadakan sehingga 19 Ogos di Makmal ICT sekolah berkenaan merupakan salah satu modul media dalam Program STEAM for Future dan dikendalikan oleh jurulatih-jurulatih Pusat STEP.
Seramai 23 orang tenaga pengajar BTEC Hospitality dari 20 buah sekolah menengah di negara ini menyertai kursus tersebut yang berbentuk media digital yang diketengahkan oleh Subject-Based Committee (SBC) untuk golongan tenaga pengajar BTEC Hospitality.
Menerusi kursus berkenaan, para peserta didedahkan dengan pengetahuan asas mereka bentuk dan penggunaan ciri-ciri dan fungsi perisian Canva yang terkini.
Di samping itu mereka juga dapat memahami keperluan untuk mereka bentuk grafik, mengetahui bahan-bahan reka bentuk seperti teks, elemen, dan latar belakang, dan menghasilkan projek reka grafik yang menarik secara hands-on dan praktikal.


