Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Kursus dedah peraturan baharu pencak silat

    Oleh Fadhil Yunus

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JAN – Latihan bagi Pelatih Jurulatih Kebangsaan Latihan Pencak Silat, Jurulatih Bertauliah Kebangsaan anjuran Persekutuan Pencak Silat Negara Brunei Darussalam (PERSIB) telah berakhir di Arena Silat Stadium Negara Hassanal Bolkiah, semalam.

    Seramai 53 orang peserta yang mewakili pelbagai pasukan merangkumi empat buah daerah, Kokurikulum, Majlis Sukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Majlis Sukan Pasukan Polis Diraja Brunei dan Majlis Sekolah Sukan telah menghadiri kursus kejurulatihan tersebut.

    Kursus selama tiga hari itu dikendalikan oleh Jurulatih Bertauliah Antarabangsa, Tulus Priyadi, yang bertujuan untuk mengemas kini peserta, jurulatih dan wasit juri mengenai peraturan baharu pencak silat yang disemak tahun lepas.

    Presiden PERSIB, Pengiran Haji Abdul Karim bin Pengiran Haji Metassan berkata, “Melalui inisiatif jawatankuasa pemandu atau pasukan petugas persekutuan antarabangsa iaitu mengemaskini peraturan lama, kursus kejurulatihan antarabangsa telah diadakan pada Februari 2023 yang mana Brunei disertai oleh tiga orang ahli.”

    Beliau menambah peserta mesti memperoleh Sijil Bertauliah Kebangsaan untuk menyertai pertandingan.

    “Sijil terdahulu yang ada 40-50 tahun lalu tidak boleh digunakan lagi dan tidak sah sejak 2020,” tambahnya.

    Sementara itu, Tulus berkata kursus itu bertujuan mendedahkan peraturan baharu untuk disampaikan kepada bakal atlet dan diguna pakai di daerah dan organisasi masing-masing.

    Beliau turut berkongsi perubahan peraturan terkini terutama mengenai apa yang dibenarkan semasa perlawanan berlangsung.

    Kandungan kursus termasuk sesi mengenai struktur organisasi pasukan petugas; sesi bertajuk Pencak Silat Goes to Olympics; latihan fizikal; peraturan dan undang-undang; dan bimbingan.

    Para pelatih yang mengikuti kursus tersebut bergambar kenangan di Arena Silat Stadium Negara Hassanal Bolkiah. – GAMBAR SERAHAN PERSIB
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...