Oleh Nurdiyanah R.
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Kursus kaligrafi Turkiye dan seni water marbling atau Ebru di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah (BKISHHB), kini terbuka kepada orang ramai di semasa majlis perasmian yang berlangsung di BKISHHB, petang kelmarin.
Kursus yang dianjurkan oleh BKISHHB dan dikendalikan oleh Yunus Emre Institute (YEE) dengan penyelarasan Kedutaan Republik Turkiye di Brunei Darussalam akan bermula pada 4 Ogos yang mana ia akan memberi orang ramai pendedahan yang lebih mendalam tentang tradisi, seni dan budaya Turkiye.
Dalam ucapan alu-aluan di Majlis Perasmian YEE Riq’ah Calligraphy dan Persembahan Seni Ebru yang diselajurkan dengan sesi demonstrasi interaktif, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Turkiye ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Prof Dr Hamit Ersoy berkata orang ramai kini boleh memohon kursus selama enam bulan secara percuma sehingga pendaftaran ditutup pada 31 Julai nanti.
Turut hadir pada majlis tersebut sebagai tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan, dan Pemangku Pengarah BKISHHB, Pengiran Mohammad Jefrynul Hafli bin Pengiran Haji Ali yang turut menyampaikan ucapan perasmian.
Pengarah YEE di Brunei, Lale Ersoy menjelaskan kaligrafi mempunyai banyak gaya tetapi gaya Riq’ah adalah unik kerana ia adalah seni dan juga memiliki fungsi, kerana ia digunakan sebagai bentuk surat-menyurat rasmi di Ottoman Palace selama berabad-abad. Ini menawarkan nilai yang besar kepada ahli sejarah dan juga para penyelidik.
“Ebru, sebaliknya, walaupun muncul hanya sebagai seni, ia berakar dalam kerohanian yang mendalam dan diamalkan sebagai bentuk zikir oleh kebanyakan artis,” tambahnya.
Antara yang hadir di majlis perasmian tersebut ialah pembesar-pembesar luar negara serta pengarah-pengarah dari jabatan-jabatan kerajaan di negara ini.
Tahun lalu, YEE dengan koordinasi dengan Kedutaan Republik Turkiye di Brunei Darussalam telah mengadakan aktiviti kerjasama dengan beberapa institusi dalam bidang kerajaan dan akademik, menganjurkan kursus bahasa, aktiviti bercerita, tayangan filem dan juga menyiarkan rancangan masakan Turkiye di saluran Radio Televisyen Brunei (RTB).
Semua di atas: Demostrasi dari Puan Lale Ersoy – GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI