Saturday, July 12, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus lanjut tingkat kepakaran penyiasatan

    Oleh Sim Y.H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 9 JULAI – Bagi meningkatkan lagi pengetahuan dan kemahiran dalam bidang penyiasatan, Kementerian Pembangunan dengan kerjasama Pejabat Peguam Negara mengadakan Kursus Penyiasatan Lanjut dan Proses Pendakwaan yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, hari ini.

    Hadir pada majlis pembukaan bagi bengkel selama dua hari yang bermula 9 hingga 10 Julai ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Korporat dan Undang-Undang) di Kementerian Pembangunan, Dayang Aldilla binti Haji Mohamad Salleh.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ketua-ketua jabatan, divisyen dan unit serta pegawai dan kakitangan di bawah Kementerian Pembangunan yang terlibat dalam usaha-usaha penguatkuasaan undang-undang.

    Dalam ucapannya, Dayang Aldilla menyatakan kursus berkenaan merupakan kesinambungan daripada Kursus Asas Penyiasatan yang pernah dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan sebelum ini.

    Bengkel itu, tambahnya, diharap akan dapat memperlengkapkan pegawai dan kakitangan Kementerian Pembangunan dan jabatan-jabatan di bawahnya dengan pengetahuan serta kefahaman yang lebih mendalam mengenai kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang.

    Kursus itu juga bertujuan untuk meningkatkan kecekapan, kemahiran dan pengetahuan para penguat kuasa dalam menjalankan siasatan yang lebih efektif terutama dalam mengemukakan kes ke pihak pendakwa.

    Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Kementerian Pembangunan dalam memperkukuhkan kecekapan penguatkuasaan undang-undang di bawah kawalannya serta mengeratkan kerjasama dengan Pejabat Peguam Negara dalam sama-sama menegakkan sistem keadilan jenayah di Negara Brunei Darussalam.

    Dayang Aldilla semasa hadir ke majlis tersebut. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda