Thursday, December 19, 2024
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus latihan asas kesihatan mental labuh tirai

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Kursus Latihan Asas Kesihatan Mental untuk Pemimpin Masyarakat khusus buat para imam, ustaz dan daie anjuran Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) telah melabuhkan tirainya dengan majlis penutup yang berlangsung di Dar Al-Intishar, Kompleks Sukan Jerudong, pagi tadi.

    Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis berkenaan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman yang sekali gus menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus di akhir majlis.

    Seramai 20 orang peserta telah terpilih untuk mengikuti kursus berkenaan yang terdiri daripada pegawai dan kakitangan di bawah KHEU.

    Pada minggu pertama kursus, para peserta telah mengikuti sesi suai kenal yang dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Psikiatri, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) serta diberikan taklimat penerangan daripada pegawai di Unit Strategi Kesihatan Mental, Pusat Promosi Kesihatan (HPC), Kementerian Kesihatan; Unit Kaunseling dan Kefahaman Agama (KAFA), Jabatan Hal Ehwal Syariah; dan Pusat Dakwah Islamiah (PDI), KHEU.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Selamat diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Ahli Psikologi Klinikal, Ketua Strategi Kesihatan Mental, HPC, Kementerian Kesihatan, Dayang Nor Syahmun binti Haji Matassan, yang juga selaku pihak penganjur bersama atau pengerusi majlis bersama.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin semasa menyempurnakan penyampaian sijil kepada para peserta kursus di akhir majlis. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.
    Pengiran Haji Jufri semasa mengongsikan pengalaman beliau mengikuti Kursus Latihan Asas Kesihatan Mental Untuk Pemimpin Masyarakat pada majlis penutup kelmarin. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R.

    Majlis berkenaan turut diserikan dengan perkongsian pengalaman oleh salah seorang perserta kursus iaitu Pegawai Perkembangan Ugama, PDI, KHEU, Pengiran Haji Jufri bin Pengiran Haji Hidup.

    Kursus yang dijalankan selama 12 minggu ini telah selesai dilaksanakan pada akhir bulan Oktober 2024. Kursus latihan ini diisikan dengan ilmu-ilmu berkaitan dengan kesihatan mental dan psikologi daripada perspektif Islam dan juga sains perubatan.

    Peserta-peserta juga telah diberikan pendedahan mengenai teknik-teknik kaunseling, pendekatan psikologi Islamik dan perbincangan mengenai rawatan-rawatan holistik dan sains bersepadu serta perubatan serta latihan pengamalan teori secara praktikal melalui
    role plays.

    Kursus latihan asas ini merupakan usaha Kementerian Kesihatan dan KHEU dalam sama-sama menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu‘izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengenai isu-isu berkaitan kesihatan mental sepertimana dalam beberapa titah Baginda sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha 1443 Hijrah/2022 Masihi dan juga sempena sambutan ‘Ilal Hijrah 1446 Hijrah/2024 Masihi tahun ini.

    Di samping itu, kursus ini juga merupakan salah satu tindakan berkepentingan di dalam Pelan Tindakan Kesihatan Mental Negara Brunei Darussalam 2022-2025 yang khusus terkandung dalam Strategi 3: Mengukuhkan Promosi Kesihatan Mental dan Pencegahan Penyakit Kecelaruan Mental. Ia juga mempunyai beberapa objektif penting sebagai wadah untuk meningkatkan kesedaran dan pengetahuan para peserta dalam isu-isu berkaitan pencegahan dan pengurusan kesihatan mental dari kedua-dua perspektif Islam dan sains perubatan melalui para imam, ustaz dan ustazah serta daie-daie yang bertauliah di negara ini.

    Selain itu, ia juga dihasratkan untuk memberigakan kepentingan penjagaan kesejahteraan emosi dan mental dari sudut pandangan Islam serta mengurangkan stigma dan pandangan negatif terhadap kesihatan mental khususnya di kalangan masyarakat di negara ini. Pada masa yang sama, ia juga diharap dapat menjadi satu platform pembarigaan bagi perkhidmatan-perkhidmatan kesihatan mental dan kesejahteraan diri yang terdapat di negara ini, sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta.

    Turut hadir pada majlis penutup berkenaan ialah setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap serta pegawai-pegawai kanan dan pegawai-pegawai dari kedua-dua buah kementerian.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda