Oleh Hajah Saemah Kepli
KUALA BELAIT, 29 April – Seramai 17 orang terdiri daripada tenaga pengajar dan pelatih Pusat Bahagia Eric Goh yang menyertai Kursus Marsyal Bomba menerima sijil penyertaan masing-masing pada majlis yang diadakan di Pusat Bahagia Eric Goh, Jalan Kampung Pandan, di sini.
Kursus yang telah diadakan selama tiga hari itu dikendalikan oleh Bahagian Perhubungan Awam Cawangan Operasi B, Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Belait yang diketuai oleh Dayang Azlina binti Haji Adnan.
Penyampaian sijil telah disempurnakan oleh Pemangku Timbalan Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi B, Pemangku Penguasa Bomba, Awang Muhamad Ali bin Hassan, manakala surat pelantikan Ketua Marsyal Bomba dan Marsyal Bomba disampaikan oleh Ketua Cawangan Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) Daerah Belait, Dayang Noridah binti Haji Ishak.

Antara objektif kursus itu diadakan adalah bagi mendedahkan pengajar dan pelatih industri di Pusat Bahagia Eric Goh mengenai isu-isu keselamatan jika berlakunya kebakaran, selain bagi kepentingan dan keperluan kepada warga pusat berkenaan, seterusnya untuk memberigakan tatacara penggunaan alat pemadam api dan pengosongan bangunan jika berlakunya kebakaran.
Sepanjang kursus diadakan, para peserta juga telah diberikan pelbagai maklumat termasuklah cara-cara pencegahan kebakaran api seperti memadam api menggunakan pelbagai jenis alat pemadam api, belajar cara menyelamatkan diri secara berkumpulan di dalam ‘smoke house’, selain belajar teknik-teknik menyelamat mangsa dalam kebakaran seperti menggunakan selimut dan skaf atau tudung dan peranan selaku Ketua Marsyal Bomba dan Marsyal Bomba.
Selain itu, pengajar dari Jabatan Bomba dan Penyelamat juga turut membuat praktikal latihan memadamkan kebakaran secara berkumpulan dan melatih peserta untuk berkumpul di assembly point dan sebagainya.