Oleh Mohamad Asyramisyanie
BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Kursus Pengadilan Belia Domestik 2017 melabuh tirainya di NFABD House, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas setelah diadakan selama lima hari, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ke majlis itu ialah Pengerusi Jabatan Pengadilan Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Brunei Darussalam (NFABD), Zulkifli bin Haji Duraman yang turut menyempurnakan penyampaian sijil kepada 25 orang pengadil yang menyertai kursus berkenaan.
Terlebih dahulu beliau menegaskan rasa berbesar hati dengan perkembangan terbaru daripada kursus kedua kali ini dan apatah lagi kebanyakan daripada senarai ahli yang menyertai kursus adalah bekas pemain piala elit bawah 16 tahun NFABD dan liga remaja bawah 16 tahun anjuran NFABD.
“Saya sangat suka melihat komitmen mereka (para pengadil) dan disiplin yang ditunjukkan dan saya yakin ia akan membantu meningkatkan lagi tahap pengadilan di negara ini apatah lagi semua yang terlibat adalah belia,” ujarnya.
Beliau kemudiannya menyatakan harapan untuk melihat peningkatan pengadilan dan kualiti kerja dan turut menegaskan rasa yakin bahawa mereka ini dapat meningkatkan lagi pengetahuan dan pencapaian peribadi di masa akan datang.
