Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 NOV – Seramai 37 orang ahli Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD) telah menyertai Kursus Asas Manikayu, Bahagian Pengakap Tunas dan Bahagian Pengakap Muda yang diadakan di Dewan Persidangan, Tingkat 4, Bangunan Ibu Pejabat PPNBD, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, baru-baru ini.
Para peserta adalah 14 orang peserta bagi Bahagian Pengakap Tunas dan 23 orang peserta bagi Bahagian Pengakap Muda yang terdiri daripada pemangku pesuruhjaya pengakap, penolong pesuruhjaya pengakap daerah, pemimpin pasukan pengakap, penolong pemimpin pasukan pengakap dan ahli Pengakap Kelana dari seluruh negara.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PPNBD, di sini, hari ini, kursus itu diadakan bagi memberi pendedahan asas secara teori dan latihan praktikal dalam latihan kemahiran dan
kaedah pengakap dalam pergerakan pengakap.
Ia juga diharapkan dapat menarik minat pemimpin dan penolong pemimpin pasukan pengakap yang baharu untuk lebih aktif dan berpengetahuan dalam menjalankan tugas mereka di dalam pasukan pengakap masing-masing kepada bakal-bakal pemimpin pasukan pengakap, penolong pemimpin pasukan pengakap serta ahli Pengakap Kelana.
Kenyataan menyatakan bahawa kursus yang kebiasaannya dijalankan selama tiga hari itu telah dibahagikan kepada dua fasa iaitu fasa 1 peringkat modul (teori) dan fasa 2 peringkat latihan praktikal secara berkhemah.

Bagi fasa 1, ia mengandungi dua modul iaitu tujuh sesi bagi modul 1 yang telah dijalankan pada 27 September lalu. Manakala itu, modul 2 mengandungi tujuh sesi lagi yang telah pun dijalankan pada 8 November.
Sementara itu, bagi fasa ke-2, modul 3 iaitu peringkat latihan praktikal secara berkhemah, ia akan dijalankan pada 12 hingga 14 Disember nanti secara berkhemah.
Pada sesi pembelajaran dalam modul 2 itu, peserta kursus telah diberi pembelajaran dan peluang membuat pembentangan bagi setiap tajuk kursus yang diberikan serta gerak kerja latihan kemahiran praktikal antara lain sesi teori permainan dan tatacara mengendalikan Malam Pengakap, sesi meninggalkan kawasan tanpa sebarang kesan, sesi Skim Lencana Kemahiran dan Kepandaian Pengakap Tunas dan Pengakap Muda, sesi Pengurusan PEK dan Patrol, sesi Pengurusan dan Pentadbiran Pasukan Pengakap dan sesi Puak Bumi.
Meskipun kursus dijalankan dalam keadaan kewaspadaan berikutan penularan pandemik COVID-19, perlaksanaannya tetap mematuhi garis panduan bagi sentiasa menjaga kebersihan dan penjarakan sosial seperti mana yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.
Kursus akan disambung semula bagi peringkat modul 3 pada 12 hingga 14 Disember nanti.