Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Kursus Miracle Women merupakan inisiatif yang sangat signifikan dalam memperkasa wanita dan membentuk personaliti yang unggul.
Kursus selama dua hari itu julung kali diadakan dan dianjurkan oleh Hitune Universal Services bagi memberi peluang kepada peserta untuk meningkatkan keupayaan diri dan membina jaringan sokongan yang kukuh sesama wanita di samping memberi impak positif serta inspirasi kepada peserta.
Sempena kursus yang pertama ini, Kumpulan Syarikat Hitune juga telah memeterai memorandum persetujuan (MoA) dengan Al Falah Team Solution bagi bekerjasama menganjurkan acara-acara memperkasa wanita di Negara Brunei Darussalam.
MoA tersebut telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Hitune, Dayang Hernah Nur Imani binti Muhd Jeffrey dan Pengurus Al Falah Team Solution, Normah Mammat.
Penandatanganan berkenaan telah disaksikan oleh Pengerusi Kumpulan Syarikat Hitune, Pengiran Zamri bin Pengiran Haji Bujang.
Terdahulu, Dayang Hernah Nur Imani menjelaskan, “Tidak dinafikan, ramai wanita hari ini mempunyai profesion yang penting dalam organisasi dan sektor-sektor awam serta di jabatan-jabatan kerajaan. Kejayaan mereka telah memainkan peranan dalam institusi keluarga, sekali gus membantu memberi impak yang besar kepada masyarakat dan negara.”
Perkara itu dikongsikan semasa merasmikan kursus Miracle Women di Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.
Beliau seterusnya menambah, program berkenaan menjadi platform penting untuk membangunkan potensi diri, memperkaya ilmu dan meningkatkan keyakinan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan.
Menurutnya, adalah amat penting bagi setiap wanita membentuk personaliti yang bijak dalam mengurus cabaran dan berdaya saing dalam onak dunia yang terus mencabar ini.
Pembimbing kursus, Lia Alifiani, merupakan fasilitator yang berpengalaman dalam membimbing dan menyuntik kejayaan wanita melalui program-program pembangunan dan transformasi diri.
Kejayaan yang menakjubkan dalam memperkasa wanita di Indonesia dan Malaysia telah memberi impak yang luas kepada lebih 7,000 orang peserta yang berjaya meningkatkan pertumbuhan peribadi dan memperkasakan diri.