Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Persatuan Pengakap Daerah Tutong (PPDT) dengan Kerjasama Pasukan Latihan Pengakap Kebangsaan Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam (PPNBD), baru-baru ini, telah menganjurkan Kursus Latihan Permulaan pertama bagi tahun ini.
Kursus tersebut merupakan antara program tahunan yang mana kali ini melibatkan seramai 18 orang peserta daripada pengakap Daerah Tutong dan Daerah Belait.
Mereka terdiri daripada pemimpin-pemimpin dan penolong pemimpin pengakap dari Sekolah Chung Hwa Tutong, Sekolah Menengah Arab Belait, Sekolah Menengah Perdana Wazir Kuala Belait dan Baden Powell Guild (BPG) serta bakal-bakal pemimpin PPDT.
Turut hadir semasa kursus tersebut ialah Pesuruhjaya Daerah PPDT, Haji Muhd Sufian bin Haji Abdul Karim dan Pesuruhjaya Latihan Pengakap Kebangsaan PPNBD, Awang Zainuddin bin Haji Ishak.
Kursus dikendalikan oleh seorang ketua kursus, tiga orang pemangku pesuruhjaya latihan daerah dan enam orang pembantu kursus.
Antara tujuan kursus adalah untuk melatih dan memperkenalkan keilmuan berpengakap bagi pemimpin-pemimpin, penolong pemimpin dan bakal-bakal pemimpin bahagian Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana.
