Sabtu, 22 November 2025
28.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus SCMP perkasa kemahiran pengurusan konflik

    Oleh Salawati Haji Yahya – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 OKT – Pusat Timbang Tara Brunei Darussalam (BDAC) telah berjaya melaksanakan kursus latihan tahunan bertajuk Pengurusan Konflik Strategik bagi Profesional (SCMP) yang diadakan di Dewan At-Taqwa, hari ini.

    Majlis pelancarannya telah disempurnakan oleh tetamu kehormat, Pemangku Setiausaha Tetap (Keselamatan dan Undang-undang), Jabatan Perdana Menteri, Awang Zulhusam bin Haji Abdul Samad.

    Pada majlis itu, Awang Zulhusam dalam ucaptama menegaskan bahawa dialog kekal sebagai salah satu alat keamanan yang paling berkesan dan berkekalan dalam sejarah manusia, selain menekankan bahawa penyelesaian konflik bermula dengan perbualan terbuka, yang membuka ruang kepada pemahaman bersama dan penyelesaian pertikaian secara aman.

    Beliau turut menegaskan bahawa Kursus SCMP merupakan satu inisiatif bermakna yang menyokong matlamat bersama untuk memelihara keamanan, ketenteraman dan kedaulatan undang-undang di Negara Brunei Darussalam.

    Selain itu, beliau turut menggalakkan orang ramai untuk mengambil peluang melalui Inisiatif Mediasi Pro Bono serta mengamalkan pendekatan mediasi sebagai langkah pertama ke arah memahami antara satu sama lain dan bukan sebagai jalan terakhir selepas pertikaian berlarutan dan melalui dialog penyelesaian yang berkekalan dapat dicapai.

    Awang Zulhusam bergambar ramai pada majlis itu. – GAMBAR SERAHAN BDAC
    GAMBAR SERAHAN BDAC

    Beliau seterusnya mengiktiraf bahawa kursus latihan itu turut menyokong objektif negara dalam mempertingkatkan akses kepada keadilan dengan meluaskan kumpulan pengamal mediasi bertauliah yang mampu menyelesaikan pertikaian dengan berkesan.

    Usaha tersebut sejajar dengan Wawasan Brunei 2035, yang mengimpikan institusi yang berkeupayaan tinggi, modal insan cemerlang, serta masyarakat yang berteraskan tadbir urus baik, kestabilan dan keadilan.

    Pada majlis itu, beliau turut mengiktiraf, kerjasama antara BDAC dan Pusat Mediasi Singapura (SMC) dalam menganjurkan latihan tersebut di mana ia menunjukkan kepentingan perkongsian rentas sempadan dalam membangun keupayaan profesional dan perkongsian ilmu.

    Sementara Pengarah BDAC, Haji Muhammad Zainidi bin Haji Abdul Hamid, dalam ucapan alu-aluanya antara lain menggariskan, Kursus SCMP yang kini memasuki tahun keempat penganjurannya telah mencerminkan peningkatan pengiktirafan terhadap kepentingan pengurusan konflik yang berkesan sebagai satu kemahiran profesional yang penting.

    Beliau turut menegaskan bahawa kursus itu melambangkan komitmen BDAC untuk membina keupayaan negara dalam bidang Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) serta memperkukuh budaya dialog dan persefahaman dalam organisasi serta komuniti.

    “Pencapaian utama BDAC sepanjang tahun lalu, termasuk penyertaan dalam acara serantau utama seperti Minggu ADR Borneo dan Minggu Maritim Brunei Darussalam, di mana BDAC telah melancarkan Tinjauan ADR Kebangsaan pertama bagi industri maritim, serta penyertaan dalam Minggu Konvensyen Singapura,” jelasnya.

    BDAC telah merekodkan pertumbuhan yang stabil dalam jumlah pendaftaran dan banyak mediator bertauliah SMC-BDAC, merupakan graduan Program SCMP dan kini telah berjaya memudah cara penyelesaian pertikaian dengan jayanya dan akan turut menyertai Projek Mediasi Pro Bono yang akan dilancarkan pada bulan Disember ini.

    Menerusi kursus itu, mediator akan menawarkan khidmat sukarela untuk membantu individu dan keluarga berpendapatan rendah serta organisasi yang memerlukan, sekali gus mencerminkan impak berterusan latihan SCMP dan mengukuhkan komitmen BDAC dalam memperluas akses kepada keadilan.

    Seramai 18 peserta daripada sektor kerajaan dan swasta telah berdaftar untuk kursus tersebut dan sepanjang kursus para peserta akan mendalami topik-topik seperti sifat konflik, teknik penyelesaian, serta latihan praktikal melalui lakonan situasi sebenar.

    Kursus itu dikendalikan oleh dua jurulatih berpengalaman dari SMC, iaitu Loong Seng Onn dan Zechariah J.H. Chan.

    Setelah tamat kursus, para peserta akan menjalani Penilaian Kemahiran Mediasi (MSA) yang dijadualkan pada 26 hingga 27 November nanti, di mana peserta yang berjaya akan layak menerima pensijilan atau akreditasi sebagai mediator yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda