Oleh Ampuan Irma Susanti
TEMBURONG, 1 Mac – Sebagai usaha berterusan untuk memberikan pengetahuan lebih mendalam khusus kepada Muslimah di daerah ini, Unit Dakwah Daerah Temburong telah mengadakan Kursus Ta’lim ‘Himpunan Bimbingan Sembahyang’ bagi persatuan-persatuan wanita Daerah Temburong, baru-baru ini.
Diadakan di Pejabat Unit Dakwah Temburong, di sini, kursus berkenaan disertai oleh seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada ahli-ahli persatuan dan Muslimah masjid di daerah ini.
Setelah mengikuti siri pertama kursus berkenaan pada tahun ini, para peserta tersebut akan meneruskan lagi siri kedua pada April depan.
Ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan ajaran Islam dan memberi kefahaman yang lebih sempurna serta memberikan kesedaran agar ia dapat diaplikasikan dan dihayati dalam kehidupan seharian mereka dengan penuh keyakinan serta ketakwaan kepada Allah SWT.
Dayang Norilham Nizah Ayu binti Haji Mohd Zahari dari Bahagian Penyebaran Dakwah (kursus), Pusat Dakwah Islamiah ketika ditemu bual menjelaskan, Kursus Ta’lim yang diadakan selama empat hari berkenaan dijalankan secara berperingkat dan kali ini lebih memfokuskan kepada perkara-perkara yang berhubung kait dengan wuduk dan tayamum bagi anggota yang berbalut, hukum sembahyang apabila telah sembuh, sembahyang pesakit, sembahyang Jamak dan Qasar serta himpunan sembahyang sunat.
Ia diharap akan dapat meningkatkan kefahaman para peserta sambil mengulang kaji pengetahuan mereka yang telah sedia ada, menghayati ajaran Islam dengan penuh keyakinan serta bertakwa kepada Allah SWT.
