Ahad, 23 November 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus tarannum labuh tirai

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 12 OGOS – Kursus Tarannum Al-Quran Peringkat Lanjutan Siri Pertama Tahun 2024 melabuhkan tirainya dengan majlis penyampaian sijil kepada 18 peserta terdiri daripada 10 lelaki dan lapan perempuan yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, Gadong, pagi tadi.

    Kursus yang diadakan selama lima hari bermula 5 hingga 10 Ogos itu diungkayahkan oleh Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

    Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian sijil pada majlis tersebut, Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

    Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Masjid Al-Muhtadee Billah, Kampung Sungai Kebun, Awang Mohd Afif bin Dato Seri Setia Haji Japar, diikuti dengan ucapan alu-aluan oleh Pemangku Pengarah Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran MABIMS KHEU, Awang Mohammad Ali Sabri bin Haji Yusof.

    Majlis diteruskan dengan ucapan Yang Berhormat Pehin yang mana beliau menaruh keyakinan bahawa kursus peringkat lanjutan yang julung kalinya dianjurkan itu dapat mengubah persepsi para peserta dan juga orang ramai terhadap seni tarannum Al-Quran, dengan memahami tarannum secara ilmiah dan praktikal.

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama bergambar ramai bersama para peserta kursus. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    ATAS & BAWAH : Peserta Kursus Tarannum Al-Quran Peringkat Lanjutan Siri Pertama Tahun 2024 menerima sijil yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    GAMBAR SERAHAN KHEU

    Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Ugama juga menyeru kepada para peserta supaya meneruskan keterujaan mereka dengan terus memanfaatkan segala ilmu yang didedahkan dalam kursus tersebut, dan berusaha dengan bersungguh-sungguh mempraktikkannya bagi mempertingkat kemahiran bertarannum.

    KHEU berhasrat untuk menyediakan ruang dan peluang bagi bakat-bakat qari serta qariah negara berkembang dan menjadi terbilang.

    Dalam hubungan itu, Pusat Pengajian dan Penyebaran Al-Quran hendaklah secara aktif melaksanakan peranannnya sesuai dengan namanya sebagai pusat pengajian Al-Quran.

    Majlis kemudiannya diserikan dengan persembahan Halaqah Tarannum Al-Quran daripada empat orang peserta kursus yang terdiri daripada dua orang qari dan dua orang qariah.

    Para peserta yang menerima sijil adalah terdiri daripada peserta Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan Tahun 1446 Hijrah/2024 Masihi anjuran KHEU dan Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan anjuran Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.

    Turut menerima sijil, fasilitator kursus terdiri daripada johan qari Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tahun 2003, Dato Ahmad Faizul bin Haji Ghazali, selaku salah seorang jemaah hakim pada majlis itu sehingga sekarang.

    Antara objektif kursus tesebut adalah untuk mempertingkatkan lagi disiplin ilmu tarannum Al-Quran secara ilmiah dan praktikal serta mutu pembacaan Al-Quran para qari dan qariah dan seterusnya mengambil pengalaman baharu dalam bertalaqqi dengan pakar Al-Quran dari luar negara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda