Oleh Fadhil Yunus
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 OGOS – Peserta-peserta tempatan telah diajar kaedah latihan dalam bertahan semasa kursus latihan yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Jaring Brunei (BNA) yang memasuki hari kedua di Bilik Juri Stadium Negara Hassanal Bolkiah kelmarin.
Kursus tersebut disampaikan oleh Jurulatih Bola Jaring Negara Brunei Darussalam, Jane Searle, yang mana pada hari kedua kursus menekankan beberapa cara bertahan dan strategi yang boleh diterapkan semasa perlawanan dalam kejohanan.
Menurut Searle, memberi tekanan secara defensif mampu memenangi perlawanan dan lebih banyak tekanan pasukan berikan ke atas lawan sepanjang permainan, tekanan tersebut akan membuahkan hasilnya.
Menerapkan tekanan secara defensif sedikit sebanyak akan memberikan kesan dalam suku berikutnya kerana tekanan yang telah diterapkan akan mula memberikan kesan yang dimahukan pada akhir perlawanan.
Kursus tersebut, antara lainnya, turut membincangkan mengenai menjangka lompatan ketika membuat percubaan jaringan yang biasanya membuat percubaan selepas tiga saat.
Pemain pertahanan perlu mampu menjangka bila perlu membuat lompatan dan menghalang pemain yang menyerang daripada terus mara dengan menyentuh pada bahagian bawah bola.
Dengan penyertaan yang bertujuan untuk memberikan pengetahuan asas bertahan dalam sesi bimbingan, situasi pertahan satu lawan satu juga turut ditekankan. Pemain pertahanan perlu mampu melatih penglihatan mereka dalam situasi tertentu sementara mengawal pemain lawan dan memastikan mereka tidak terlepas semasa dikawal.