Oleh Sim Y. H. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Dengan matlamat meningkatkan kefahaman mengenai konsep asas keusahawanan serta potensi perniagaan yang boleh diceburi, Persatuan Basmi Dadah (BASMIDA) mengadakan Kursus Keusahawanan yang berlangsung di Ibu Pejabat BASMIDA, Kampung Anggerek Desa pada 13 hingga 16 Ogos.
Kursus selama empat hari itu disertai oleh 23 orang peserta dan dibimbing oleh fasilitator berpengalaman, Dayang Latifah binti Abdul Razak dan Hajah Linda Aini binti Abdullah.
Pada akhir kursus berkenaan, para peserta dihasratkan dapat memahami konsep keusahawanan serta cabaran dan peluang dalam bidang perniagaan, mengenal pasti potensi diri, kekuatan dan kelemahan sebagai seorang usahawan, menetapkan visi, misi dan hala tuju dengan lebih jelas dan sistematik, mendalami pengetahuan dan kemahiran yang perlu untuk meningkatkan kemajuan perniagaan serta mencetuskan daya pemikiran kreatif dan kebolehan mencipta idea baharu dalam perniagaan. Di samping itu, mengenal pasti peluang-peluang perniagaan yang terdapat di negara ini, menyediakan dan menggunakan rancangan perniagaan sebagai panduan termasuk mendapatkan pembiayaan atau pinjaman serta melaksanakan perancangan yang dibuat semasa kursus untuk mencapai matlamat kejayaan hidup dengan lebih terarah.
Penganjuran kursus itu diharap dapat membantu para peserta, khususnya rakan BASMIDA, untuk lebih bersedia menceburi dunia perniagaan, meningkatkan keyakinan diri serta menyumbang kepada perkembangan ekonomi negara melalui bidang keusahawanan.




