Wednesday, March 26, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus tingkat kualiti kemahiran

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Usaha terus dilaksanakan bagi mendukung Dasar Belia Negara dan Strategi 2020-2035 melalui Strategi Teras 3 iaitu Pendidikan, Kebolehambilan Kerja dan Pekerjaan Wajar di mana ia memastikan semua belia di negara ini mempunyai pekerjaan yang bermakna pada masa hadapan dan mendapat akses kepada pendidikan dan latihan kemahiran yang relevan dengan keperluan industri secara holistik.

    Perkara itu dinyatakan oleh Penolong Pengarah (Pusat Pembangunan Belia), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Awang Haswandi bin Haji Osman dalam ucapannya pada Penyampaian Sijil bagi Peserta Kursus Program Komuniti Kursus Kemahiran Street Art Haircut (Tukang Gunting Rambut Lelaki) Sesi Pengambilan ke-3 yang berlangsung di Pusat Pembangunan Belia (PPB), hari ini.

    Beliau berkata, kursus itu adalah selaras dengan hal tuju Strategik PPB 2020-2024 di bawah salah satu strategi teras iaitu meningkatkan kualiti latihan kemahiran melalui pelaksanaan kursus jangka pendek.

    Ia dapat memberikan kemahiran yang berguna dan relevan bagi menjana pendapatan dan membantu dalam meningkatkan kualiti kehidupan, jelas Awang Haswandi lagi.

    Empat orang peserta telah berjaya menamatkan kursus kemahiran Street Art Haircut pengambilan ke-3 yang telah bermula pada 24 Oktober 2022 dan berakhir 28 Februari 2023, di mana sijil para peserta telah disampaikan oleh Awang Haswandi.

    Program itu dilaksanakan bagi memberikan tahap kemahiran, pengetahuan dan kefahaman kepada belia yang berminat dalam bidang tukang gunting rambut khasnya bagi lelaki serta untuk membuka peluang-peluang baharu sama ada dalam bidang berkenaan mahupun kepada kemahiran diri peserta.

    Tiga sesi pengambilan telah dilaksanakan bermula 2020 dan sembilan orang peserta telah berjaya menamatkan kursus serta memperoleh pekerjaan.

    Program Komuniti Kursus Street Art Haircut ke-3 telah dikendalikan oleh tenaga pengajar yang berpengalaman dalam bidang haircut dan hairstyling iaitu Awang Abdul Wafi Syazwan bin Supri.

    Antara modul yang dipelajari oleh para peserta dalam program berkenaan adalah Assessing Head Shape, Introduction to Razor and Shaving dan Introduction to Scissor Work and Scissor over Comb.

    Dalam program ke-3 itu juga, para peserta berpeluang untuk menjalani program penempatan kerja selama dua bulan di Syarikat Street82 Enterprise dan dua orang peserta daripada program itu telah diberikan peluang pekerjaan oleh syarikat berkenaan.

    Program Komuniti Kursus Kemahiran Street Art Haircut akan dibukakan lagi bagi sesi pengambilan ke-4 pada Ogos 2023 khusus bagi para belia yang berminat.

    Awang Haswandi bergambar ramai dengan empat orang peserta kursus yang menerima sijil mereka pada majlis yang berlangsung di PPB, kelmarin. – Gambar serahan PPB
    Para peserta kursus menjalani latihan bagi Kursus Kemahiran Street Art Haircut pengambilan ke-3. – Gambar serahan PPB

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda