Kursus tingkatkan kesedaran isu kesihatan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OKT – Dengan matlamat untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai isu kesihatan serta alam sekitar, Megamas Training Company Sdn Bhd baru-baru ini, telah mengadakan Kursus Sijil Am Antarabangsa (IGC) NEBOSH ke-100 yang dihadiri oleh syarikat-syarikat serta individu yang berhasrat untuk meningkatkan lagi kemahiran dan ilmu pengetahuan mereka dalam isu berkenaan.

Kursus yang dikendalikan di Pejabat Megamas Training Company, Kiulap itu disertai oleh seramai 18 orang peserta daripada pelbagai sektor industri dengan kursus dikendalikan oleh Tenaga Pengajar Kanan NEBOSH, Dave Chase.

Penasihat Eksekutif Megamas Training Company, Mohd Roger Ainsworth menyatakan bahawa pengendalian kursus IGC ke-100 itu, merupakan satu pencapaian yang amat bermakna bagi Megamas.

Beliau menyatakan bahawa kursus itu diharap sedikit sebanyak dapat memberikan sumbangan ke arah meningkatkan kesihatan dan keselamatan negara.

Pada masa yang sama, beliau juga menyatakan bahawa pencapaian mereka itu, telah mendapat pengiktirafan oleh NEBOSH di mana mereka telah diberikan anugerah Rakan Kongsi Pembelajaran Emas (Gold Learning Partner), baru-baru ini.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada semua pihak atas sumbangan mereka terhadap pencapaian mercu tanda yang penting bagi Megamas Training Company.

Mohd Roger Ainsworth dan Dave Chase bergambar ramai dengan para peserta Kursus IGC NEBOSH ke-100 yang diadakan di Pejabat Megamas Training Company di Kiulap, baru-baru ini. – Gambar oleh Megamas