Sabtu, 22 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kursus urutan bantu komuniti buta bina semula kehidupan

    SELANGOR – Saravanan Kaniappan, 41, tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya selepas menerima sijil terapi urutan daripada Pusat Latihan Gurney (GTC) di bawah Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), baru-baru ini.

    Beliau merupakan antara 81 graduan yang diraikan pada majlis tersebut, yang menjadi lebih bermakna dengan kehadiran ahli keluarganya yang datang memberikan sokongan penuh.

    “Saya gembira akhirnya menamatkan kursus selama 18 bulan ini. Ia sangat bermakna bagi saya dan kini saya boleh menggunakan kemahiran urutan untuk mencari rezeki,” katanya selepas majlis penyampaian sijil yang diadakan di ibu pejabat MAB di Brickfields.

    Dengan jubah graduasi berwarna biru laut, Saravanan jelas bersemangat menyambut satu lagi pencapaian besar dalam hidupnya. Sukar dipercayai bahawa beberapa tahun lalu, beliau pernah dilanda keputusasaan sehingga cuba menamatkan hidupnya sendiri.

    Saravanan dahulunya bekerja sebagai penjual sayur di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. Namun, kehidupannya berubah tragis pada tahun 2021 apabila beliau terlibat dalam kemalangan motosikal di Taman Sri Manja, Kuala Lumpur.

    Saravanan berdiri dengan sabar sementara sepupunya, Saraswathi Murugan membetulkan jubah graduasinya. – ANN/The Star
    Thomas bersama kakitangan Persatuan Orang Buta Malaysia semasa majlis graduasi. – ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star
    Gambar ANN/The Star

    Kemalangan itu menyebabkan korneanya koyak dan akhirnya dia hilang penglihatan pada kedua-dua belah mata.

    “Saya sukar menerima takdir ini, terutama selepas menjadi buta sepenuhnya. Hidup terasa tidak bermakna dan saya hilang semangat untuk meneruskan kehidupan,” ujar Saravanan.

    Nasibnya mula berubah selepas seorang pakar psikiatri di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (HCTM), Bandar Tun Razak, mencadangkan beliau menyertai kursus latihan urutan yang ditawarkan oleh GTC.

    Saravanan mengakui bahawa ramai orang berasa hancur selepas hilang upaya akibat kemalangan, namun pengalaman hidupnya membuktikan kesedihan boleh diatasi, asalkan mendapat sokongan dan semangat yang betul.

    “Kursus ini benar-benar membantu saya. Saya mendapat ramai kawan baharu di GTC dan tenaga pengajar sangat menyokong. Pengalaman ini mengubah cara saya melihat kehidupan. Walaupun kemalangan itu menyebabkan saya buta, saya belajar untuk menerima keadaan ini dan kekal positif,” katanya.

    Kini Saravanan bekerja sebagai tukang urut di Pusat Bandar Puchong, Selangor. Dia semakin yakin dan bersyukur kerana dapat menggunakan kemahirannya untuk berdikari.

    Dia tinggal di Taman Kinrara, berkongsi rumah dengan beberapa rakan tukang urut yang juga buta.

    “Perniagaan semakin meningkat, walaupun perlahan-lahan. Saya berharap dapat memperoleh pendapatan lebih baik. Saya ingin menggalakkan orang lain yang mempunyai keperluan khas supaya berani mencuba perkara baharu dan jangan berputus asa,” tambahnya.

    MEMBERI KEKUATAN KEPADA KEHIDUPAN

    Pusat Latihan Gurney (GTC) ditubuhkan pada tahun 1953 sebagai pusat latihan formal pertama di Malaysia yang bertujuan memberikan latihan kemahiran kepada golongan buta.

    Sejak itu, lebih 3,000 graduan telah dihasilkan dalam pelbagai bidang seperti pengurusan pejabat, operasi sistem komputer, terapi urutan dan penghasilan audio.

    Selain GTC, MAB turut mengendalikan pusat latihan dan pemulihan di Ipoh, Perak, yang menyediakan latihan asas serta program pemulihan kepada individu yang kehilangan penglihatan akibat kemalangan atau penyakit seperti katarak, glaukoma dan retinopati diabetik.

    Sebuah lagi pusat MAB di Temerloh, Pahang sedang dinaik taraf dan dijangka dibuka sebagai pusat latihan serantau menjelang pertengahan tahun 2026. Ia akan menawarkan program industri-dalam-akademi serta kursus kemahiran baharu yang tidak terdapat di GTC, termasuk pertanian, kraftangan dan pembuatan roti.

    Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Datuk George Thomas berkata, pusat latihan untuk orang buta memainkan peranan penting dalam menyediakan akses kepada pendidikan dan kemahiran berkualiti bagi golongan berpenglihatan terhad.

    “Matlamat kami adalah untuk memperkasa individu berpenglihatan terhad dengan kemahiran dan pendidikan yang sesuai. Dengan latihan yang betul, mereka boleh hidup berdikari, menjana pendapatan dan memberi sumbangan bermakna kepada masyarakat,” jelasnya.

    Beliau menambah, ramai individu buta turut cemerlang dalam kursus lain yang dianjurkan oleh GTC.

    “Sejak tahun 2021, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam dan Pusat Perubatan Barakah di Pelabuhan Klang telah bekerjasama dengan GTC bagi menawarkan kursus urutan sukan dan terapi kesihatan fizikal profesional. Setakat ini, lebih 140 ahli terapi profesional telah dilatih melalui kerjasama ini,” katanya.

    Thomas turut menyatakan harapan agar pasukan tersebut sekali lagi dapat mewakili Malaysia dalam Kejohanan Urutan Asia ke-2 2026 yang akan diadakan di Phuket, Thailand pada Januari nanti.

    “Kami berharap kejayaan ini dapat membuka peluang bagi penyertaan Malaysia dalam Abilympics, pertandingan antarabangsa untuk profesional kelainan upaya, yang dijadual berlangsung di Helsinki, Finland pada tahun 2027 dengan melibatkan 43 kategori kemahiran. – ANN/The Star

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda