PARIS, 7 OGOS – Polis Perancis telah menahan seorang warga Jerman selepas isterinya ditemui dikurung dalam rumah pasangan tersebut selama 12 tahun.
Sumber polis hari ini menyatakan wanita itu, juga warga Jerman, ditemui dalam keadaan telanjang dengan kepala dicukur dalam bilik tidur di apartmen itu dan mengalami kecederaan teruk, termasuk patah tulang.
Dia mungkin telah diseksa, menurut sumber tersebut.
Polis berkata bilik tidur itu telah ditutup dengan kawat besi di kediaman di Forbach, timur Perancis, yang berdekatan dengan sempadan Jerman.
Wanita berusia 53 tahun telah berjaya menghubungi polis di Jerman, yang kemudiannya memaklumkan kepada rakan sejawatan mereka di Perancis, menurut sumber polis.
Lelaki berusia 55 tahun itu dituduh melakukan penculikan, rogol dan perbuatan penyeksaan serta kekejaman, kata saluran penyiaran Perancis, BFMTV. – AFP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2023/08/P2-3-web-Canva_08082023.jpg)