Saturday, March 15, 2025
32.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUSKOP salur RM813.4 juta kepada PMKS, koperasi di Sabah tahun lepas

    KOTA KINABALU, 11 FEB – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyalurkan RM813.4 juta kepada 53,395 perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi di Sabah, sepanjang tahun lepas.

    Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata pembiayaan itu disalurkan melalui agensi KUSKOP antaranya Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), TEKUN Nasional, Bank Rakyat, SME Bank, SME Corp, Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

    Selain itu, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) juga melaksanakan 41 program latihan dan bimbingan keusahawanan, memanfaatkan 1,585 usahawan.

    “KUSKOP turut memperkenalkan program khas Ehsan@KUSKOP untuk membantu usaha menoktahkan kemiskinan di Sabah dan bagi tujuan itu Yayasan Bank Rakyat menyalurkan peruntukan sebanyak RM3 juta.

    “Program itu akan bermula tahun ini, di tiga daerah dikenal pasti mempunyai daftar kemiskinan tinggi iaitu Kudat, Kota Marudu dan Kota Belud,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

    Ewon yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian berkata KUSKOP telah memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur Dalam Negara, bagi memberi fokus tambahan kepada Sabah dan Sarawak terutamanya dalam konteks pembangunan keusahawanan. – Bernama

    Datuk Ewon Benedick berucap pada Majlis Peluncuran Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 (IYC2025) Peringkat Kebangsaan di Auditorium ANGKASA, Wisma Ungku A.Aziz, Kelana Jaya, Selangor. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda