Friday, October 18, 2024
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    KUSKOP tingkat keupayaan digitalisasi koperasi

    KOTA KINABALU, 7 APRIL – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bakal melancarkan Pelan Tindakan Digitalisasi Koperasi tidak lama lagi bagi meningkatkan keupayaan digitalisasi koperasi masa kini.

    Menterinya, Datuk Ewon Ebin Benedick dalam kenyataan berkata pelan tindakan itu juga antara lain bertujuan meningkatkan keupayaan koperasi menjalankan perniagaan berasaskan teknologi dan mengguna teknologi secara optimum.

    Katanya pelan itu akan dilaksanakan dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Koperasi Malaysia (IKMa) dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

    “Pendigitalan koperasi merupakan antara fokus utama KUSKOP dalam menyediakan program intervensi memulihkan perniagaan koperasi.

    “KUSKOP yakin pelan tersebut mampu membawa perubahan dan mentransformasikan gerakan koperasi ke arah pendigitalan, bagi meningkatkan pendapatan masyarakat terutamanya golongan B40,” katanya.

    Ewon berkata koperasi perlu beralih daripada menjalankan perniagaan secara konvensional kepada adaptasi teknologi dan digitalisasi kerana pemasaran melalui platform digital dan pembayaran secara online amat penting dalam norma baharu perniagaan.

    Ahli Parlimen Penampang itu berkata sehingga tahun 2022, sebanyak 1,706 koperasi didaftarkan di Sabah dengan keanggotaan seramai 343,230 orang, manakala syer dan yuran terkumpul adalah RM220 juta. – Bernama

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Ewon Ebin Benedick. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda