Filem aksi komedi arahan Syafiq Yusof, iaitu Polis Evo 3 yang mula ditayangkan di pawagam Malaysia, baru-baru ini, mengaut lebih RM3.4 juta.
Jumlah itu termasuk RM1.3 juta yang diperoleh pada sesi tayangan awal atau sneak preview filem terbabit yang dipertontonkan di pawagam GSC di seluruh Malaysia, Rabu lalu.
Kutipan itu membolehkan naskhah terbitan Astro Shaw bersama Skop Productions dan TGV Pictures itu mengetepikan filem antarabangsa, Fast X, dengan pungutan lebih dua kali ganda semalam, lantas mendominasi carta kutipan pawagam.
Rabu lalu, Polis Evo 3 menduduki tangga pertama dalam kelompok 10 filem teratas yang mengaut kutipan tertinggi di GSC selepas sesi tayangan awal.
Penerbit Eksekutif Polis Evo 3 iaitu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw dan Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad menganggap kejayaan filem berkenaan sebagai permulaan baik serta membuktikan filem tempatan mampu menawan hati dan memberi saingan sengit kepada filem antarabangsa.
“Syukur Alhamdulillah, sokongan penonton terhadap Polis Evo 3 amat luar biasa. Kami amat berbesar hati apabila peminat memilih karya tempatan untuk dijadikan tontonan.
“Saya ingin ucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang menonton Polis Evo 3 di pawagam.
“Momentum positif ini membuktikan penonton kita masih meletakkan kepercayaan pada karya tempatan. Kami harap peminat berpuas hati serta terhibur selepas menonton filem Polis Evo 3.
“Kejayaan filem tempatan mengatasi kutipan judul antarabangsa selaras slogan Polis Evo 3 iaitu ‘Kita Lagi Kuat Boh’,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. – Agensi