Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 OKT – Sebanyak $6,755,890.28 telah berjaya dikumpulkan melalui Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza setakat 15 Oktober.
Sehubungan itu, tempoh kutipan tabung berkenaan dilanjutkan selama enam bulan lagi mulai 19 Oktober hingga 18 April 2026 bagi membolehkan orang ramai terus menyalurkan bantuan bagi meringankan kesengsaraan dan beban penderitaan penduduk Palestin yang terjejas di Gaza.
Pelanjutan tersebut dilaksanakan pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.
Kutipan dana boleh terus disalurkan melalui platform-platform sedia ada di bawah tabung tersebut, antaranya kutipan melalui SMS Brunei Prihatin yang dikendalikan oleh Datastream Digital Sdn Bhd, Progresif Sdn Bhd dan Imagine Sdn Bhd.
Tabung-tabung derma turut disediakan di masjid, surau dan balai ibadat di seluruh negara, termasuk bangunan awam, gedung perniagaan serta bank dengan kerjasama Persatuan Bank-bank dan penganjuran aktiviti-aktiviti amal bagi tujuan kutipan derma berkenaan.
Daripada jumlah keseluruhan kutipan tersebut, sebanyak $1,399,545.00 telah digunakan bagi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Palestin melalui air-drop dalam bentuk paket makanan yang telah dilaksanakan pada 13 hingga 15 Mac 2024.
Dengan itu, baki Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin setakat 15 Oktober adalah berjumlah $5,356,345.28.










