Oleh Juliana Tee –
Saya mempunyai teman-teman yang mempunyai hobi menyanyi.
Tidak kurang juga jiran di sebelah rumah kakak saya juga menjadi kutu karaoke berkumpulan sambil menyanyi karaoke. Malah ibu saudara saya juga membuka kedai karaoke di Bandar Miri. Kami adik-beradik juga meminati karaoke di suatu masa dulu, sehingga saya juga pernah dikenali sebagai penyanyi karaoke.
Masih saya ingat lagi kutu-kutu karaoke Ronnie, Ken, Frankie, Rahim, Tinah, Johnny dan Mad. Mereka ini ada yang bujang dan tidak kurang juga yang sudah berumah tangga.
Yang berumah tangga, walaupun isterinya ke karaoke untuk bergaduh tetapi kerana minat si suami berani bersilat dengan si isteri. Dan ada pula kerja pejabat selalu tergendala. Memang macam-macam perangai kutu karaoke.
Tetapi ada juga yang sudah lebih sikit. Walaupun tengah malam, mereka tidak menjadi masalah, asalkan dapat menyanyi seolah-olah menghadapi pertandingan pula.

Apabila tiba penghujung tahun, mereka sekumpulan akan pergi berkaraoke di negeri jiran kerana di sana ada meraikan malam menunggu hantu tiba, iaitu tepat pukul 12 tengah malam, esoknya tahun baharu, Memang menjadi tradisi dan menarik perhatian pelancong yang datang.
Hantu ini bukan sebarang hantu yang mengikut belakang, tetapi ini hantu bertuah. Jam menunjukkan tepat pukul 12 tengah malam lagu karaoke diputarkan, mula-mula lagu menyeramkan kemudian lagu membawa tuah.
Hantu bertuah pun masuk, semua yang ada di dalam karaoke harus hormat seperti satu upacara pula. Lagu-lagu terus diputarkan.
Hantu bertuah ini pergi ke tempat kumpulan orang ramai, sambil diberi nombor untuk cabutan bertuah, apa lagi kutu karaoke masing-masing mendapat hadiah yang mempunyal simbol kesenangan.
Walaupun murah atau mahal tapi kutu karaoke gembira. Setelah itu salah seorang kutu karaoke mendapat hadiah daripada hantu bertuah itu, dia pun segera menyimpan hadiah yang berupa kipas di dalam kereta.
Apabila dia keluar daripada kumpulan karaoke menuju ke kereta, tiba-tiba dia terpandang hantu bertuah menjadi ramai di hadapan jalan raya. Kira-kira ratusan sedang berjalan-jalan di tengah jalan raya.
Dia menjadi hairan, “Kenapa ramai sangat ni,” bisik hati kecilnya. Dia cuba-cuba nak menegur tapi berasa takut pula, dia pun terus memperhatikan hantu-hantu bertuah itu berjalan, dia terkejut apabila kaki hantu bertuah tidak memijak bumi.
Dia terus berlari seperti angin kencang menuju ke tempat karaoke di mana teman-temannya berkumpul. Dia tercungap-cungap dan menceritakan kepada teman-temannya.
Mereka pun keluar untuk melihat sendiri.
Tetapi mereka tidak melihat apa-apa pun selain lampu-lampu neon yang menerangi jalan raya. Kawan-kawannya tidak mempercayainya.
Kutu karaoke itu pun masuk ke dalam untuk menyanyi lagi. Dia pun kehairanan seolah-olah dia macam dalam mimpi pula. Walaupun hantu bertuah hanya rekaan manusia tetapi dia pernah berjumpa dengan hantu bertuah yang kakinya tidak memijak bumi.
Dia pun masuk semula ke karaoke untuk menyanyi. Pada malam itu juga dia di antara teman-temannya, dialah yang mempunyai suara yang unik dan diminati ramai di karaoke.Dia pun berasa bertuah atas kelebihannya. Kadang-kadang dari kumpulan lain pula timbul rasa cemburu apabila dia menyanyi.
Bos karaoke pun terpegun pada malam itu kerana tepukan gemuruh dari orang ramai dan menyuruh dia menyanyi lagi. Itulah kenangan dari kutu karaoke yang berjumpa ratusan hantu bertuah.