Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Kuwait, Arab Saudi kukuh hubungan

    RIYADH, 31 JAN – Amir baharu Kuwait berlepas ke Arab Saudi kelmarin untuk lawatan asing pertamanya sejak mengambil alih pemerintahan, lapor media kerajaan Arab Saudi, persinggahan yang menekankan hubungan rapat antara pembekal minyak di Teluk itu.

    Sheikh Meshal Al-Ahmed Al-Sabah, yang berusia 83 tahun, mengangkat sumpah bulan lalu selepas kematian pewaris terdahulu dan abang tirinya, Sheikh Nawaf.

    Beliau berdepan dengan tugas untuk mengatasi kebuntuan politik yang berpanjangan dan memperbaharui sektor awam yang tidak cekap.

    Putera Mahkota Mohammed bin Salman, pemerintah de facto Arab Saudi berusia 38 tahun, menyambut Sheikh Meshal di lapangan terbang di Riyadh ketika trompet dimainkan, 21 das tembakan dilepaskan dan Saudi Falcons, pasukan aerobatik tentera udara, melakukan pertunjukan udara, lapor agensi berita rasmi Arab Saudi (SPA).

    Media kerajaan juga menunjukkan Sheikh Meshal bertemu bapa Putera Mohammed, Raja Salman.

    Sheikh Meshal dan Putera Mohammed membincangkan ‘perkembangan terkini dalam isu serantau dan antarabangsa serta usaha yang dilakukan berhubung perkara itu’, kata SPA, tanpa mengulas lanjut.

    Kedua-dua negara enggan mengiktiraf Israel, walaupun Arab Saudi sedang mempertimbangkan untuk berbuat demikian sebelum serangan Hamas pada 7 Oktober yang tidak pernah berlaku sebelum ini ke atas selatan Israel yang mencetuskan tindak balas tentera Israel yang dahsyat.

    “Dasar luar Kuwait adalah sejajar dengan Arab Saudi,” kata Bader al-Saif dari Universiti Kuwait.

    “Penyelarasan ini hanya akan menjadi lebih kukuh di bawah Sheikh Meshal,” tambahnya sambil menyatakan pemimpin Kuwait itu mengadakan beberapa lawatan ke Arab Saudi semasa berkhidmat sebagai putera mahkota. – AFP

    Gambar oleh Kementerian Media Arab Saudi pada 30 Januari 2024 menunjukkan Putera Mohammed menyambut ketibaan Sheikh Meshal di lapangan terbang di Riyadh. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...