BANDAR KUWAIT, 28 DIS – Kuwait, salah sebuah bandar paling panas di bumi, dilanda ribut hujan batu yang jarang berlaku, dengan imej-imej salji dikongsikan secara meluas di media sosial hari ini.
“Kami tidak menyaksikan hujan batu semasa musim sejuk sejak 15 tahun lalu,” kata Muhammad Karam, bekas pengarah di Jabatan Meteorologi Kuwait, kepada AFP.
Gambar-gambar dan video jalan raya di selatan sebahagiannya dilitupi oleh hujan batu dan ais, tular dalam online dengan ramai yang meraikan kejadian cuaca yang jarang berlaku.
Kanak-kanak memakai skarf dan baju hujan ketika mereka mencedok ais di daerah Umm al-Haiman, kira-kira 50 kilometer selatan Bandar Kuwait.
Jabatan Meteorologi Kuwait berkata hujan sejak kelmarin mencecah 63 milimeter namun cuaca semakin cerah. Karam berkata dia menjangkakan fenomena ini berlaku sekali lagi kerana perubahan iklim telah mengganggu corak cuaca.
Negara Teluk itu mengharungi cuaca panas terik, dan para saintis meramalkan ia tidak akan boleh didiami pada masa akan datang disebabkan perubahan iklim.
Pada 2016, suhu pada musim panas mencecah 54 darjah Celsius. Beberapa kawasan di Kuwait mungkin menjadi 4.5 darjah Celsius lebih panas pada 2071 hingga 2100 dibandingkan dengan purata sebelum ini, menurut amaran yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Alam Sekitar Awam. – AFP


