BANDAR KUWAIT, 3 JAN – Kuwait telah menyeru rakyatnya untuk mengelak perjalanan ke beberapa negara Eropah yang dilanda teruk oleh varian COVID-19, Omicron.
Dalam satu siri kenyataan kelmarin, negara Teluk yang kaya dengan minyak itu juga menggesa rakyat Kuwait yang sudah berada di sana untuk pulang ke tanah air kerana lonjakan kes di benua itu.
Kementerian luar negeri berkata mereka harus “menangguhkan perjalanan mereka” secara amnya dan khususnya ke Perancis, Jerman, United Kingdom, Sepanyol dan Itali.
Ia juga menggesa rakyatnya, terutama sekali mereka yang selalu berbelanja besar di luar negara, untuk meninggalkan negara tersebut ‘memandangkan peningkatan ketara dan belum pernah terjadi sebelumnya dalam jumlah kes baharu COVID-19’.
Eropah dalam beberapa bulan lalu sekali lagi menjadi pusat pandemik dan sedang memerangi peningkatan kes yang didorong oleh varian Omicron yang sangat mudah berjangkit.
Negara-negara yang mempunyai nisbah jangkitan tertinggi bagi setiap 100,000 penduduk di dunia semuanya berada di Eropah, menurut pengiraan AFP pada Sabtu lalu.
Kiraan tersebut menunjukkan lebih 4.9 juta jangkitan dilaporkan di Eropah dalam tempoh tujuh hari hingga 1 Januari, di rantau antara Atlantik dan Rusia.
Perancis sahaja merekodkan lebih satu juta kes baharu dalam tempoh satu minggu itu. – AFP