SAN SEBASTIAN, 31 Julai – Michal Kwiatkowski (gambar) dari Poland memenangi persaingan lima hala bagi perebutan menuju garisan penamat ketika perlumbaan San Sebastian Classic sejauh 232 kilometer yang menyaksikan detik akhir yang menarik semalam.
Ia adalah kemenangan ketiga klasik musim ini bagi Kwiatkowski, yang membantu rakan sepasukan Sky, Chris Froome mengekalkan cengkaman ke atas jersi kuning dalam Tour de France yang berakhir pada Ahad lalu.
Dalam pergelutan sengit menuju garisan penamat di antara pakar pendakian berbukit, pemenang 2013, Tony Gallopin dari Perancis berada di tempat kedua dan pemenang tahun lepas, Bauke Mollema dari Belanda di tempat ketiga.
Juara perlumbaan jalan raya dunia 2014 mengangkat tangannya ke udara selepas menang dengan jarak kurang sebuah basikal, sementara pemenang Giro d’Italia, Tom Dumoulin melihat dalam keadaan sayu apabila menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Mikel Landa dari Sky, berada di tempat keempat dalam Tour de France, meraih tempat kelima dengan ketinggalan dua saat.
“Penunggang Basque Sepanyol begitu hebat dalam pasukan hari ini,” kata Kwiatkowski selepas perlumbaan itu, merujuk kepada Landa dan Mikel Neive.
“Anda boleh melihat Mikel Landa memainkan peranan pentingnya di akhir perlumbaan, dan saya boleh melakukan pecutan dengan mudah. Saya berterima kasih kepada Mikel di mana dia menunggu dalam kumpulan itu di depan. Hari ini begitu menarik, semangat berpasukan, kami percaya kami boleh memenangi perlumbaan.”
Juara Olimpik, Greg van Avermaet adalah pilihan orang ramai tetapi kehilangan tenaga ketika mengejar trio tersebut untuk menamatkan perlumbaan di tempat kelapan.
Landa mendahului Mollema dan Gallopin pada bukit terakhir tetapi Kwiatkowski dan Dumoulin menunjukkan kuasa hebat untuk merapatkan jurang.
Kwiatkowski merupakan warga Poland yang pertama untuk menang di San Sebastian, dalam edisi ke-37, selepas bekerja keras lima jam, 52 minit dan 53 saat. – AFP