KUALA LUMPUR, 15 Sept – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatat peningkatan pendapatan pelaburan sebanyak 36.36 peratus kepada RM11.51 bilion bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2017 (Q2 2017) berbanding RM8.44 bilion dalam tempoh yang sama tahun lepas.
Dalam satu kenyataan di sini hari ini, dana simpanan itu berkata daripada jumlah pendapatan itu, instrumen Pendapatan Tetap menyumbang 37.29 peratus, ekuiti (53.72 peratus), manakala instrumen pasaran hartanah dan infrastruktur dan instrumen pasaran wang masing-masing menyumbang 6.23 peratus dan 2.64 peratus,
Selaras dengan Piawaian Pelaporan Kewangan Malaysia (MFRS 139), KWSP mencatatkan kekurangan bersih yang lebih rendah, sebanyak RM1.34 bilion pada Q2 2017, peningkatan RM2.28 bilion atau 62.98 peratus daripada RM3.63 bilion sebelumnya, selari dengan prestasi pasaran ekuiti yang lebih baik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata kedudukan pasaran semakin baik berbanding setahun yang lepas, dengan kesemua kelas aset dalam portfolio KWSP mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun yang sihat, dengan ekuiti akan terus menjadi pemacu keuntungan utama bagi suku dalam tinjauan.
“Walaupun kami mencatatkan peningkatan prestasi yang ketara tahun ke tahun bagi kedua-dua suku sebelumnya dan suku semasa, momentum agak lemah, yang menyaksikan keuntungan korporat yang normal pada Q2 2017. Oleh itu, kami menjangkakan pertumbuhan pendapatan yang sederhana bagi suku akan datang,” kata Shahril. – Bernama