STUTTGART, 14 JUN – Nick Kyrgios berang kerana kekurangan tuala putih dan kemudiannya meminta peminat supaya bersabar selepas kekalahan straight set kepada Wu Yibing sekembalinya ke dunia tenis di Stuttgart.
Pemain Australia yang menduduki tangga ke-25, yang menamatkan saingan di tempat kedua 11 bulan lalu di Wimbledon kepada Novak Djokovic, tewas 7-5, 6-3 kepada Wu yang berada di kedudukan lebih rendah dan membuat penampilan pertamanya di padang rumput kelmarin.
Kyrgios, yang bermain buat kali pertama sejak menjalani pembedahan lutut pada Januari, menulis di Twitter selepas itu: “Tolong bersabar dengan saya. Ia adalah satu proses untuk kembali ke tahap yang saya ada sebelum ini.
“Saya tahu sukar untuk awda melihat saya beraksi seperti hari ini, tetapi saya memerlukan lebih banyak masa dan berharap dapat kembali seperti dulu.”
Mood Kyrgios bertukar masam pada set pertama, dengan keluhan tentang warna tuala, lantunan gelanggang rumput dan kekurangan air di tepi padang.

Namun, tuala penaja berwarna di gelanggang yang membuatkan pemain Australia itu geram.
“Saya mengambil masa tiga perlawanan untuk mendapatkan tuala putih,” kata pemain berusia 28 tahun itu selepas tewas pusingan pertama kepada Wu dari China, yang berada di kedudukan ke-64 dan memenangi gelaran Dallas pada Februari.
“Tuala putih menyerap peluh dengan lebih baik. Saya sama sahaja pada setiap kejohanan. Mereka semua mempunyai tuala putih di bilik persalinan.
“Saya tidak meminta sesuatu yang sukar dan hampir mustahil. Tuala putih sebenarnya dapat mengeringkan peluh dari badan saya. Kami adalah atlet profesional.”
Kyrgios, yang perlawanan peringkat jelajahnya sebelum ini adalah pada Oktober tahun lalu di Tokyo, menambah: “Saya perlu membiasakan diri bermain di hadapan penonton sekali lagi. Merasakan momen seperti break point – semua perkara itu baharu kepada saya semula.
“Saya berjaya menamatkan perlawanan tanpa rasa sakit yang teruk. Saya mempunyai banyak lagi kerja yang perlu dilakukan, tetapi saya mengambil beberapa isyarat positif daripadanya,” katanya. – AFP

