BERLIN, 19 JUN – Pemain Australia, Nick Kyrgios berkata dia ‘mencuba segala-galanya’ untuk menjadi cergas selepas menarik diri daripada kejohanan pemanas badan Wimbledon di Halle hari ini kerana masalah lutut.
Pemain berusia 28 tahun itu, yang tewas pada final Wimbledon 2022 dalam empat set kepada Novak Djokovic, menjalani pembedahan untuk membaiki kecederaan meniskus di lutut kirinya pada Januari.
“Saya mencuba segala-galanya di Halle untuk menjadi cergas sejak beberapa hari lalu, tetapi saya terpaksa membuat keputusan untuk menarik diri,” kata Kyrgios hari ini.
“Apabila saya bermain, saya mahu mempamerkan persembahan seperti yang saya lakukan di sini tahun lepas ketika saya berada di separuh akhir, tetapi itu tidak mungkin,” tambah pemain Australia itu.
Kyrgios, yang berada di ranking ke-31, dijangka akan menentang Lorenzo Sonego dari Itali pada pagi esok dalam kejohanan gelanggang rumput Jerman, salah satu acara pendahuluan paling penting untuk Wimbledon, yang akan bermula pada 3 Julai.
Kyrgios mengadu pergerakannya terhad selepas tewas pusingan pertama kepada Wu Yibing di Stuttgart awal bulan ini.
“Setiap kali saya bergerak, saya berasa sakit pada bahagian lutut saya. Saya tidak dapat berjalan tanpa rasa sakit,” kata Kyrgios semasa perlawanan.
Dengan rekod 37-10, Kyrgios menjalani musim terbaik dalam kariernya pada 2022, dengan mencatatkan 12 kemenangan terbanyak dalam jelajah di atas gelanggang rumput.
Tempatnya di Halle akan diambil oleh Aslan Karatsev dari Rusia yang menduduki ranking ke-45. – AFP


