BRISBANE, 30 Dis – Pemain Australia, Nick Kyrgios berkata dia akan memendekkan jadualnya pada 2019 nanti dan menyatakan punca dia berdepan masalah mental yang membuatkannya berjumpa pakar psikologi adalah kerana lama tidak pulang ke tanah air.
Pemain berusia 23 tahun itu melalui musim yang tidak menentu pada tahun ini di mana dia berdepan kritikan kerana sikapnya ketika dalam gelanggang sebelum kecederaan siku memaksanya untuk menghabiskan musim lebih awal.
Ketika pulang ke tanah air, dia memberitahu kepada akhbar Canberra Times, dia mula berjumpa pakar psikologi dan cuba untuk menyelesaikan masalah kesihatan mentalnya.”
Dia membuat penampilan semula pada Kejohanan Antarabangsa Brisbane minggu ini sebagai juara bertahan dan berkata dia kini merasa lebih baik tetapi menyusun jadualnya sebaik mungkin selepas melalui tahun yang agak meletihkan.
“Berada di tanah air telah banyak menyelesaikan masalah saya. Ia lebih kepada isu mental berbanding segalanya,” katanya.
“Saya jauh daripada tanah air selama lima bulan setengah. Saya tidak mahu menghadapinya lagi.
“Jika saya mahu menjuarai Terbuka AS atau kejohanan lain, saya tidak akan beraksi sepanjang tahun,” tambahnya.
Pemain berbakat tetapi pemarah itu terkenal dengan sikapnya di dalam gelanggang.
Ketika kejohanan Terbuka AS pada Ogos lalu, pengadil memberi kata-kata semangat kepada Kyrgios selepas beraksi seperti tidak bersemangat pada pusingan kedua perlawanan.
Dia juga berdepan kritikan akibat menampilkan aksi tidak bermaya ketika tersingkir dalam kejohanan Shanghai Masters pada pusingan pertama Oktober lalu. – AFP