BISHKEK, KYRGYZSTAN, 31 OGOS – Kyrgyzstan hari ini berkata ia merancang untuk mengharamkan platform perkongsian video popular TikTok, selepas negara Asia Tengah itu menuduh aplikasi itu ‘menyebabkan ketagihan’ dalam kalangan kanak-kanak dan menjejaskan kesihatan mental mereka.
Kementerian kebudayaan negara Asia Tengah itu berkata dalam satu kenyataan bahawa ia telah menerima ‘mesej yang kerap’ daripada organisasi yang menyatakan kebimbangan mengenai ‘kesan berbahaya’ aplikasi itu.
“Diketahui umum TikTok menghanyutkan penggunanya dalam dunia maya. Selepas menontonnya, remaja cuba mengulangi beberapa video tertentu, ada di antaranya yang membahayakan nyawa,” katanya.
Mereka juga mendakwa aplikasi itu gagal mengehadkan kandungan yang akan ‘merosakkan kesihatan dan perkembangan kanak-kanak’.
TikTok tidak membalas permintaan untuk memberikan komen.
Beberapa negara telah berusaha untuk mengetatkan kawalan ke atas media sosial kerana kesan berpotensi terhadap kanak-kanak, termasuk United Kingdom dan Perancis.
Bagaimanapun, Kyrgyzstan juga telah dikritik sejak beberapa bulan kebelakangan ini kerana mengawal media bebas, dalam apa yang katakan oleh kumpulan hak asasi sebagai tindakan keras yang semakin meningkat terhadap kebebasan bersuara. – AFP